TFC gagal manfaat laman sendiri pada aksi suku akhir menentang JDT [ 8h ago ]

3,720 tudung jenama Bawal Exclusive tiruan dirampas

Tarikh kemaskini: 12/09/2019
KUALA LUMPUR, 11 Sept -- Pengasas Bawal Exclusive Haliza Maysuri (kiri) bercakap ketika sidang media berhubung kes pelanggaran dan peniruan cap dagang jenama Bawal Exclusive hari ini. Turut sama peguam syarikat Hafiz Zubir yang dilantik pihak Bawal Exclusive untuk mengendalikan kes tersebut. Semalam Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah merampas 1,631 helai tudung yang menggunakan cap dagang Bawal Exclusive disyaki tiruan.
KUALA LUMPUR, 11 Sept -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas 3,720 helai tudung jenama Bawal Exclusive dipercayai tiruan bernilai RM49,500 dalam 'Ops Barang Tiruan' di sebuah premis di pusat beli belah di Jalan Munshi Abdullah di sini, semalam.

Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP, Rosli Ahmad berkata operasi dilakukan selepas menerima aduan daripada pengasas tudung berkenaan yang memiliki cap dagang tudung itu.

"Hasil pemeriksaan dan serbuan ke atas premis berkenaan mendapati ia merupakan kedai menjual tudung jenama Bawal Exclusive yang disyaki tiruan itu.

"Barang-barang itu telah disita dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Semalam KPDNHEP Kedah turut merampas 1,631 helai tudung jenama sama bernilai RM24,465 dipercayai tiruan dalam serbuan di sebuah premis borong di Jalan Langgar, Alor Setar, dan difahamkan tudung tiruan itu dijual pada harga hanya belasan ringgit sehelai.

-- BERNAMA








       Berita Utama Terdahulu