TFC gagal manfaat laman sendiri pada aksi suku akhir menentang JDT [ 7h ago ]

Lebih 200 rakyat Korea Selatan terima dokumen sokongan untuk mohon visa AS

Tarikh kemaskini: 12/09/2019
SEOUL, 12 Sept -- Lebih 200 warga Korea Selatan yang pernah mengunjungi Korea Utara menerima sijil kebenaran daripada pihak kerajaan bagi membolehkan mereka memohon untuk mendapatkan visa Amerika Syarikat (AS), kata Kementerian Perpaduan pada Khamis lapor agensi berita Yonhap.

Bulan lepas AS menguatkuasakan peraturan baharu yang mana individu pernah melawat Korea Utara sejak Mac 2011 tidak layak memohon Program Pengecualian Visa (VWP) dan perlu melalui proses temuduga serta mematuhi beberapa peraturan lain.

Sehubungan itu, kerajaan Korea Selatan mengeluarkan sijil kebenaran yang mengandungi maklumat mengenai tujuan lawatan ke Korea Utara sebagai dokumen sokongan kepada mereka yang perlu melalui temuduga.

Menurut kementerian itu, sebanyak 196 sijil kebenaran telah dikeluarkan secara dalam talian antara 16 Ogos dan 10 September.

AS berkata peraturan baharu itu susulan penyenaraian semula Korea Utara sebagai negara yang menjadi penaja keganasan pada 2017.

Sejak 2016 AS tidak membenarkan kemasukan melalui Sistem Kebenaran Perjalanan Elektronik (ESTA) kepada pelawat asing yang pernah mengunjungi satu daripada tujuh negara iaitu: Iran, Iraq, Sudan, Syria, Libya, Yaman dan Somalia.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu