Pelajar Malaysia digalak sertai program Space Camp di AS [ 8h ago ]

Pemimpin PBB gesa 'dialog' diadakan susulan ketegangan dalam isu Kashmir

Tarikh kemaskini: 12/09/2019
NEW YORK, 12 Sept -- Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres, yang masih bimbang dengan ketegangan di Kashmir, menggesa India dan Pakistan berbincang secara aman untuk mencari jalan keluar daripada krisis itu, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan seorang jurucakap PBB.

Bercakap kepada pemberita di New York pada Selasa, Stephane Dujarric berkata Guterres telah beberapa kali bertemu para pegawai Pakistan dan India sejak beberapa minggu kebelakangan ini dalam usaha meredakan ketegangan antara kedua-dua negara yang mempunyai senjata nuklear itu.

Setiausaha agung “masih berasa amat bimbang tentang kemungkinan berlaku peningkatan ketegangan antara India dan Pakistan berhubung isu itu,” kata Dujarric.

“Beliau merayu agar kedua-dua pihak menangani isu itu menerusi dialog dan, seperti yang dinyatakan oleh Pesuruhjaya Tinggi bagi Hak Asasi Manusia baru-baru ini, situasi di Kashmir hanya boleh diselesaikan dengan menghormati sepenuhnya hak asasi manusia,” katanya.

Dujarric turut memaklumkan beberapa siri pertemuan serta panggilan telefon antara Guterres dan para pegawai kanan India dan Pakistan dalam beberapa minggu kebelakangan ini, termasuk yang membabitkan Perdana Menteri Narendra Modi.

Ketegangan antara New Delhi dan Islamabad timbul pada 5 Ogos apabila India menghantar beribu-ribu anggota tentera ke lembah Kashmir, menarik balik hak istimewa bagi rantau itu dan memotong sambungan telefon mudah alih serta Internet di kawasan itu.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu