Kim raih gelaran sulung ADT pada Kejohanan PGM MNRB [ 47m ago ]

PM akan hantar surat kepada Presiden Jokowi berkenaan jerebu rentas sempadan

Tarikh kemaskini: 12/09/2019
JOHOR BAHRU, 12 Sept -- Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan menghantar surat kepada Presiden Indonesia Joko Widodo secepat mungkin berhubung isu jerebu rentas sempadan.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin berkata beliau telah berbincang dengan Dr Mahathir mengenai perkara berkenaan.

“Saya telah berbincang dengan Perdana Menteri dan beliau telah bersetuju untuk menulis surat kepada Presiden Jokowi untuk menarik perhatian beliau atas isu jerebu merentasi sempadan ini,” kata beliau kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penutup Hari Inovasi Kejuruteraan-Industri Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai status terkini jerebu rentas sempadan yang turut melibatkan Indonesia.

Terdahulu, kerajaan juga telah mengadakan perjumpaan dengan wakil daripada Pejabat Kedutaan Indonesia di Malaysia untuk menjelaskan status terkini jerebu di negeri ini.

“Kita dapat kerjasama daripada wakil kedutaan dan apa yang Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Dr Siti Nurbaya Bakar katakan itu, mungkin dia tidak pergi ke asmc.asean.org yang mana merupakan lama web yang diiktiraf ASEAN, di mana data.. apa yang kita gunakan untuk tengok sama ada jerebu lintas sempadan ke atau tidak,” katanya yang menambah data di laman web berkenaan menunjukkan jerebu dari Indonesia.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan akan membuat aduan rasmi berhubung dakwaan Siti Nurbaya semalam mengenai jerebu berpunca dari Malaysia.

Justeru, beliau berharap agar kerajaan Indonesia dapat meningkatkan jentera mereka untuk menangani kebakaran hutan di Kalimantan dan Sumatera

“Hari ini,titik panas di Kalimantan meningkat lagi, semalam 480 lebih, hari ini meningkat kepada 1,188 titik panas. Di Sumatera pula hari ini 431 titik panas, sementara kita ada lima iaitu empat di Sabah dan Sarawak manakala satu di Semenanjung.

“Kita akan sedia memadamkan semua api di Malaysia dan kita juga berharap Indonesia akan bertanggungjawab atas api dan kebakaran di Indonesia,” tambahnya lagi.

Sementara itu, Yeo berkata operasi pembenihan awan akan diadakan di Sarawak seawalnya hari ini bagi mengatasi jerebu yang melanda negeri itu.

“Kerajaan dan agensi-agensi yang terlibat telah bersiap siaga di Sarawak untuk melihat sama ada situasi awan adalah sesuai untuk operasi pembenihan awal. Kalau sesuai, kita akan buat (seawalnya) hari ini,” kata beliau.

Beliau berkata pembenihan awan dilakukan di Sarawak berikutan negeri itu dilanda jerebu yang dilihat agak serius hari ini dari semalam berikutan peningkatan titik panas mendadak di Kalimantan hari ini.

-- BERNAMA














       Berita Utama Terdahulu