299 mangsa banjir di Perak pagi ini [ 23m ago ]

Keputusan India semak semula FTA dengan ASEAN tidak jejaskan perbincangan RCEP - Darell

Tarikh kemaskini: 12/09/2019
KUALA LUMPUR, 12 Sept -- Keputusan India untuk menyemak semula Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan ASEAN dilihat tidak akan menjejaskan perbincangan mengenai Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), yang dijangka selesai pada akhir tahun.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking berkata rundingan yang sedang berlangsung bergerak dalam hala tuju positif, dengan kesemua 16 negara anggota sedang mencari penyelesaian untuk memuktamadkan perjanjian perdagangan itu dalam tempoh masa dijangkakan.

"Kami (negara anggota RCEP) baru sahaja mengadakan mesyuarat di Bangkok dan terdapat satu lagi (mesyuarat) pada akhir bulan ini di Danang, Vietnam dan hanya pada ketika itu kami akan tahu pendirian India. Apa yang kami dengar daripada mereka pada hari terakhir mesyuarat itu adalah agak positif.

"Saya fikir mereka mungkin mempunyai kebimbangan politik dan domestik di negara mereka dan mereka mungkin akan menyelesaikan berhubung pendirian (akhir) mereka pada mesyuarat RCEP akan datang," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Dialog Perundingan MITI 2019 di sini, hari ini.

Darell berkata apa lebih lebih penting adalah RCEP dimuktamadkan, mengambil perhatian bahawa rundingan perdagangan itu telah berlangsung selama beberapa tahun manakala rantau perlu mempunyai ekonomi yang kukuh dan persefahaman berasaskan peraturan dalam kalangan 16 negara.

Mengenai mekanisme Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara (ISDS) dalam rundingan RCEP, beliau berkata Kabinet telah mengarahkan kementeriannya untuk tidak bersetuju untuk mempunyai mekanisme ISDS dalam perjanjian perdagangan. Rundingan berhubung perkara itu telah diketuai oleh Malaysia.

"Malah pada tahun 2015, apabila semua anggota pakatan bersetuju untuk mempunyai ISDS dalam RCEP, ini telah berubah dalam pertemuan terakhir kami di China, yang juga diketuai oleh Malaysia, dan kami menjelaskan bersama negara-negara lain yang bersetuju dengan kami tentang mengapa kami tidak perlu pertimbangkan (ISDS dalam perjanjian itu) apabila ia dimuktamadkan," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata kemungkinan untuk mempunyai ISDS dalam RCEP boleh dirundingkan semula dalam masa dua tahun selepas perjanjian perdagangan mula berkuat kuasa, sekiranya ada keperluan untuk melakukannya, bergantung pada persekitaran ekonomi pada masa itu.

Terdahulu dalam ucapannya, Darell mengumumkan dua inisiatif untuk memperkukuh sinergi dalam industri, iaitu "Kawan MITI" dan "Kumpulan Perundingan Pembangunan Perindustrian".

"Kawan MITI adalah daftar pihak berkepentingan daripada persatuan industri dan perniagaan untuk tujuan perikatan strategik dan kerjasama dengan MITI di masa depan, sementara inisiatif kedua adalah untuk menyediakan platform bagi penggiat industri terlibat dalam proses penggubalan dasar terutama berkaitan dengan kepentingan industri," katanya.

Menteri itu juga menggesa kerjasama dan penglibatan lebih erat, menyatakan ia dapat membuka laluan ke arah mewujudkan sinergi lebih baik antara sektor awam dan swasta.

Beliau berkata walaupun kerajaan akan melakukan yang terbaik untuk melindungi kepentingan awam, ia perlu memansuhkan langkah birokrasi tidak perlu yang boleh menghalang projek ekonomi berpotensi dipacu sektor swasta.

Pada masa yang sama, beliau menggesa penggiat industri untuk menghormati rangka kerja pengawalseliaan dan terus memberikan maklum balas membina, sambil menyatakan itu akan dapat meningkatkan proses penggubalan dasar.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu