Perintah berkurung di ESSZone dilanjutkan sehingga 7 Disember [ 19m ago ]

Tujuh lelaki disyaki Ah Long, sindiket Macau Scam ditahan

Tarikh kemaskini: 12/09/2019
KUALA LUMPUR, 12 Sept -- Polis menahan tujuh lelaki disyaki ahli sindiket pinjaman wang haram atau Ah Long dan penipuan ‘Macau Scam’ dalam operasi di sekitar ibu negara, Selasa lepas.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Roslan Bek Ahmad berkata kesemua suspek berusia 21 hingga 42 tahun itu ditahan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.

“Polis merampas barangan seperti 72 keping kad ATM dan 58 keping kad sim dipercayai digunakan untuk aktiviti penipuan.

“Suspek aktif melakukan penipuan Macau Scam, pinjaman tidak wujud dan juga memberi pinjaman wang tanpa lesen sejak tiga hingga enam bulan lepas,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Siasatan awal mendapati, sindiket itu dipercayai turut terlibat dalam 11 kes penipuan membabitkan kerugian hampir RM300,000.

Mengulas lanjut, Roslan Bek berkata modus operandi sindiket itu adalah meminta mana-mana individu yang membuat pinjaman wang menyerahkan nombor akaun bank dan kad ATM milik mereka.

“Penyerahan kad ATM atau nombor akaun bank itu dibuat kononnya untuk memudahkan urusan bayaran balik pinjaman namun siasatan mendapati suspek menggunakan akaun bank itu untuk aktiviti penipuan lain,” katanya.

Kesemua suspek direman selama empat hari sehingga esok untuk siasatan lanjut.

“Orang ramai diminta tidak mendedahkan maklumat diri khususnya dalam urusan pendaftaran talian telefon dan akaun bank kepada pihak ketiga,” tambahnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu