Jiwa besar di sebalik gema menara jam Sultan Abdul Samad [ 12m ago ]

Sektor koperasi berpotensi menjadi benteng ekonomi negara yang kuat - SKM

Tarikh kemaskini: 12/09/2019
KUALA LUMPUR, 12 Sept -- Sektor koperasi berpotensi menjadi benteng ekonomi negara yang kuat, bersandarkan kepada keanggotaan seramai 6.5 juta orang serta aktivitinya yang berskala besar, kata Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Menurut Pengerusi Eksekutif Datuk Nordin Salleh, aktiviti koperasi di Malaysia lebih tertumpu kepada sektor kewangan, pemborongan dan peruncitan, yang mana 70-80 peratus perolehannya disumbangkan oleh sektor kewangan.

“SKM akan terus memperkasakan koperasi dan memacu aktivitinya di seluruh negara dengan memainkan peranan yang lebih besar dalam membentuk perniagaan berskala besar.

“Dalam tempoh terdekat kami juga akan memberi fokus kepada sektor baharu seperti pembuatan, hartanah, bio-teknologi, kesihatan, pertanian dan sebagainya,” katanya pada taklimat media sempena perasmian detik kiraan hala tuju koperasi selepas 100 tahun yang akan diadakan pada 21 September nanti.

Menyentuh mengenai prestasi dua bank koperasi ketika ini, iaitu Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd dan Co-opbank Pertama Malaysia Bhd (CBP), Nordin berkata, hampir 90 peratus pembiayaan daripada bank-bank berkenaan merupakan pinjaman peribadi dan selebihnya bagi pembiayaan perniagaan.

Ratio ini dapat dikurangkan menjadi 70:30, yang mana lebih pembiayaan diberikan kepada sektor yang produktif.

Menurutnya lagi, konsep koperasi yang berasaskan saling bantu membantu, keperluan yang sama tanpa sebarang eksploitasi adalah lebih manusiawi berbanding dengan sesebuah syarikat.

Berlandaskan sistem sosio ekonomi, ia tidak mudah runtuh walaupun sistem kapitalis yang diamalkan sekarang gagal, katanya.

Disamping itu, bagi menolong mengurangkan kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat, SKM sedang mengatur pelbagai strategi bagi menghadkan kartel yang menjadi penyebab utama harga barangan meningkat.

“Dalam tempoh enam bulan ini rangkaian peruncit di bawah SKM telah naik mendadak kepada 25,000 peruncit berbanding 2,500 sebelumnya. Kita akan terus memperkasakan rangkaian tersebut bagi membolehkan mereka bersaing dengan baik,” jelasnya.

Sementara itu, menyentuh mengenai majlis detik kiraan hala tuju koperasi selepas 100 tahun, ia akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bertempat di Tamarind Square, Cyberjaya bermula 10.00 pagi sehingga 6 petang, 21 September.

Nordin berkata SKM menjangka seramai 20,000 orang koperator akan hadir dimajlis ini, yang akan turut meyediakan 47 gerai pameran daripada kementerian dan agensi-agensinya serta 15 ruang pameran sektor sektor koperasi berimpak tinggi.

Mengulas lanjut, Nordin berkata menjelang 21 Julai 2022, gerakan koperasi akan menginjak 100 tahun di Malaysia dan SKM mahu rakyat Malaysia mengetahui tentang kejayaan koperasi yang sudah merentasi zaman, relevan, lestari dan mampu menjadi organisasi yang berperanan besar.

“Hari ini terdapat 14,000 gerakan koperasi di negara ini, dengan keanggotaan seramai 6.5 juta serta modal sebanyak RM15 bilion dan aset bernilai RM140 bilion serta berjaya menjana pendapatan sebanyak RM42 bilion setahun,” tambah beliau.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu