Keharmonian rakyat ibarat kek lapis Sarawak yang berwarna-warni [ 34m ago ]

Perpaduan kunci keamanan rakyat

Tarikh kemaskini: 12/09/2019
TUMPAT, 12 Sept -- Rakyat negeri ini disaran agar mengekalkan perpaduan sedia ada demi memastikan keamanan terus dinikmati.

Pengarah Jabatan Penerangan Kelantan, Lim Ann Teck berkata Kelantan mempunyai kekuatan tersendiri melalui perkongsian loghat percakapan negeri yang sama selain budaya yang hampir sama.

"Loghat negeri yang digunakan semua kaum di Kelantan menjadi medium penyatuan sekaligus mengukuhkan perpaduan sedia ada. Kita harap ia akan terus dikekalkan dalam mendepani pelbagai cabaran semasa.

"Cabaran itu termasuk pengaruh media sosial yang dilihat antara ancaman kepada perpaduan negara ketika ini," katanya kepada Bernama selepas merasmikan Program Merdeka @ Komuniti di Wat Pracacinaram di sini, hari ini.

Program tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada penduduk tempatan berhubung isu kenegaraan, menghargai erti kemerdekaan selain memberi taklimat mengenai inisiatif kerajaan kepada rakyat.

Lim berkata program turun padang itu diadakan secara berkala di seluruh Kelantan dengan memfokuskan semua lapisan masyarakat termasuk Siam, Cina dan India.

"Kita mahu kesepakatan yang ada terus diperkukuhkan dan Kelantan kekal aman menerusi tolak ansur semua kaum," katanya.

Dalam pada itu, katanya semangat patriotisme rakyat negeri ini masih perlu dipertingkatkan dan kempen kemerdekaan perlu digerakkan lebih awal.

Beliau berkata semangat patriotisme perlu sentiasa subur dalam diri setiap warga negara dan bukanlah hanya disemarakkan menjelang bulan kemerdekaan sahaja.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu