Kim raih gelaran sulung ADT pada Kejohanan PGM MNRB [ 48m ago ]

Wan Azizah hadir majlis pengebumian BJ Habibie di Makam Pahlawan

Tarikh kemaskini: 12/09/2019
TPM Wan Azizah hadir majlis pengebumian Allahyarham BJ Habibie di Taman Makam Pahlawan, Kalibata, Jakarta
Oleh Mohd Shukri Ishak

JAKARTA, 12 Sept -- Indonesia berduka meratapi pemergian Presiden ketiga republik itu, Bacharuddin Jusuf Habibie atau BJ Habibie, yang selamat disemadikan di Taman Makam Pahlawan, Kalibata di Jakarta.

Timbalan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Dr Wan Azizah turut hadir menzahirkan penghormatan dan takziah Malaysia, pada majlis pengebumian jam 2.10 petang waktu Indonesia Barat , yang diadakan dengan penuh istiadat pemakaman ketenteraan.

Istiadat pemakaman itu dihadiri Presiden Indonesia, Joko Widodo serta bekas presiden kelima Indonesia Megawati Soekarnoputri dan presiden keenam, Susilo Bambang Yudhoyono.

BJ Habibie meninggal dunia jam 6.05 petang semalam di Rumah Sakit (Hospital) Pusat Angkatan Darat Gatot Soebroto berikutan pelbagai masalah kesihatan yang dialaminya.

BJ Habibie, 83, adalah presiden Indonesia ketiga, menggantikan Presiden Soeharto dan menjawat jawatan itu bermula 21 Mei 1998 hingga 20 Okt 1999.

Jenazah Allahyarham dikebumikan bersebelahan pusara isterinya, Hasri Ainun Besari atau Ainun Habibie, yang meninggal dunia pada 22 Mei 2010.

Dr Wan Azizah tiba di Jakarta jam 11.45 pagi tadi menerusi pesawat khas, mengetuai delegasi Malaysia yang turut dihadiri Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, dengan diiringi Duta Besar Malaysia di Indonesia, Zainal Abidin Bakar, bagi memberi penghormatan terakhir kepada Bapak Teknologi Indonesia itu.

Dr Wan Azizah dijadual berlepas pulang ke Kuala Lumpur jam 4 petang ini.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu