Kim raih gelaran sulung ADT pada Kejohanan PGM MNRB [ 1h ago ]

TIIS, platform mesej bersepadu pelbagai guna pertama di Malaysia

Tarikh kemaskini: 12/09/2019
PUTRAJAYA, 12 Sept -- Platform mesej dan pelbagai guna tempatan pertama, TIIS Mobile Messenger (TIIS), kini sedang dibangunkan yang boleh digunakan untuk menyampaikan maklumat kerajaan dan untuk tujuan komersial.

Diasaskan menggunakan teknologi blok rantai, platform itu dibangunkan oleh TIIS Mobile Messenger Sdn Bhd dengan kerjasama Smartcore Company dari Korea Selatan.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith yang melaksanakan pra-pelancaran TIIS itu di sini hari ini berkata selain digunakan untuk bertukar-tukar mesej, ia juga boleh digunakan untuk pelbagai tujuan lain seperti Mobile TV, e-Wallet dan e-Pay.

Sebagai platform tempatan pertama, Eddin Syazlee berkata kewujudan TIIS memberi lebih pilihan kepada pengguna yang selama ini lebih terdedah kepada platform dan aplikasi luar negara seperti Facebook Messenger, WhatsApp dan WeChat.

"Apabila diasaskan di Malaysia, platform ini akan menjadi lebih telus dalam penyebaran maklumat berkaitan kerajaan kepada rakyat kerana kerajaan mempunyai kawalan yang lebih mutlak ke atas platform tersebut,” katanya kepada media selepas pra-pelancaran itu.

Pengerusi TIIS Mobile Messenger Norain Zaharah Zakaria berkata platform TIIS dijangka dapat beroperasi melalui peranti seperti telefon pintar dalam tempoh enam bulan akan datang.

Menurut Norain Zaharah, syarikatnya akan membawa masuk pelaburan permulaan daripada Korea Selatan sebanyak USD10 juta melalui kerjasama itu.

Kos tersebut akan digunakan antaranya untuk menukar mod bahasa untuk disesuaikan dengan kegunaan tempatan kerana platform tersebut telah beberapa tahun digunakan di Korea Selatan, katanya.

"Platform sudah ada, kita hanya perlu laraskan beberapa perkara seperti bahasa dan dari segi keselamatan. Ia antara yang terbaik kerana teknologi blok rantai sukar digodam dan ia juga akan menggunakan IP dan Pelayan beralamat di Malaysia," katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu