Kim raih gelaran sulung ADT pada Kejohanan PGM MNRB [ 55m ago ]

Johor akan lakukan pembenihan awan atasi paras air kritikal

Tarikh kemaskini: 12/09/2019
 Jimmy Puah Wee Tse
ISKANDAR PUTERI, 12 Sept -- Kerajaan negeri akan melakukan lima operasi pembenihan awan dalam masa terdekat sebagai usaha mengatasi kemerosotan paras air kritikal di empangan dan loji-loji rawatan air di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri Jimmy Puah Wee Tse berkata kerajaan negeri akan menggunakan peruntukan kecemasan sebanyak RM175,000 bagi operasi itu.

Katanya masa dan cuaca yang tepat untuk melakukan operasi berkenaan perlu diambil kira selain memerlukan pandangan dan konsultasi daripada Jabatan Meteorologi sebelum ia dapat dilaksanakan.

Menurutnya, peratusan yang rendah kira-kira 10 hingga 20 peratus operasi pembenihan awan itu berhasil turut menjadi perhatian kerajaan negeri.

“Kos bukan isu yang besar untuk kita, tetapi masa yang tidak mengizinkan, itu menjadi masalah.

“Seperti di Empangan Lebam yang kritikal, masalahnya ia berada di kawasan pantai dan di sana tiada awan. Akan sentiasa ada masalah di Lebam, itu yang menjadi masalah kepada kita secara amnya,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Johor ke-14 di sini, hari ini.

Puah (PH-Bukit Batu) berkata demikian ketika menjawab soalan Yeo Tung Siong (PH-Pekan Nanas) sama ada kerajaan negeri merancang untuk membuat pembenihan awan di negeri ini untuk menyelesaikan masalah kekurangan air.

Sementara itu, Puah berkata peruntukan sebanyak RM1 juta akan dipohon pada tahun hadapan bagi persediaan operasi pembenihan awan.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu