Filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal tersenarai dalam pencalonan Oscar 2020 [ 2h ago ]

Maxis bekerjasama dengan Cisco

Tarikh kemaskini: 12/09/2019
KUALA LUMPUR, 12 Sept -- Maxis Bhd telah memeterai perkongsian strategik dengan peneraju teknologi global, Cisco, menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani di sini hari ini, untuk bersama-sama menawarkan pelbagai teknologi terkemuka di pasaran bagi perniagaan di Malaysia.

Penawaran bersama yang pertama daripada banyak yang dirancang daripada perkongsian itu untuk pasaran Malaysia adalah penyelesaian Rangkaian Kawasan Luas Ditetapkan-Perisian Terurus (SD-WAN) untuk perniagaan.

Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Maxis Paul McManus berkata kerjasama itu akan memperkasa perusahaan dalam meluaskan manfaat penting dalam penyelesaian rangkaian digital generasi akan datang.

“Penyelesaian rangkaian yang ditetapkan-perisian ini memberikan kelonggaran yang lengkap dan membolehkan perusahaan berkembang berdasarkan keperluan mereka untuk berkembang dalam dunia digital, awan dan dipacu data,” katanya dalam kenyataan hari ini.

SD-WAN merupakan teknologi rangkaian generasi akan datang, yang membolehkan pemudahan dalam pengurusan, penyebaran dan pentadbiran keperluan rangkaian organisasi.

Sementara itu Presiden Cisco Asean Naveen Menon berkata, “ Dengan kuasa awan, perniagaan boleh berhubung dengan mana-mana pengguna, sebarang aplikasi, di mana sahaja.

“Kekuatan kami dalam seni bina berasaskan awan dan kepimpinan rangkaian Maxis menjadi asas perkongsian ini, yang merupakan langkah penting dalam mempercepat transformasi digital dan memacu cara-cara baharu bekerja untuk perusahaan.”

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu