Kim raih gelaran sulung ADT pada Kejohanan PGM MNRB [ 48m ago ]

Penting kebebasan media untuk melapor yang benar - Gobind

Tarikh kemaskini: 12/09/2019
KUALA LUMPUR, 12 Sept -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo hari ini berkata adalah penting bagi media diberi kebebasan untuk melaporkan yang benar, “walaupun ia berupa satu kritikan terhadap kerajaan”.

Beliau berkata media juga membantu dalam mewujudkan dan memelihara hubungan antara pelbagai kelompok dalam masyarakat.

“Ia merapatkan hubungan sosial dan mendidik kita, dan membimbing kita ke arah menerima sesuatu idea atau sudut pandangan, dan sudah tentu ia menghiburkan kita dengan menghidangkan kandungan utama yang disesuaikan khusus berdasarkan keperluan dan kesukaan kita,” katanya dalam ucapan pembukaannya pada acara ‘UNESCO Open Talks@KL 2019’ yang dianjurkan sempena Hari Antarabangsa Mengenai Akses Sejagat Kepada Maklumat, di sini.

Gobind menyifatkan media sebagai satu kuasa yang berpengaruh dalam demokrasi, dan mengatakan bahawa ia disebut sebagai ‘fourth estate’ kerana kebaikan peranannya itu.

“Adalah penting kebebasan media tidak dihalang. Bagaimanapun, terdapat keperluan yang semakin kritikal untuk media bertindak secara bertanggungjawab. Pihak media tidak boleh membiarkan dirinya dikompromi atau ditakut-takutkan,” katanya.

Gobind berkata ketika gabungan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kuasa tahun lepas, ia berjanji akan mengkaji, memansuh dan menghapuskan undang-undang dan peruntukan undang-undang yang dianggap menindas atau memudahkan penyalahgunaan kuasa.

“Undang-undang ini termasuklah undang-undang yang menyekat kebebasan bersuara dan hak asasi manusia,” kata beliau.

Gobind berkata penubuhan Majlis Media Malaysia yang bakal dilaksanakan nanti adalah satu lagi langkah progresif dan dialu-alukan demi kebebasan media.

Beliau berkata majlis itu akan bertindak sebagai badan pengawal seliaan sendiri yang akan menetapkan standard-standard bagi golongan media untuk membina dan memelihara sifat boleh dipercayai dalam industri, selain bertindak sebagai badan arbitrasi antara orang ramai dan pihak media demi kepentingan seluruh rakyat Malaysia.

“Ini bagi memastikan ketika negara bergerak ke arah mencapai status negara maju, ada proses semak dan imbang terhadap kerajaan oleh sebuah media yang bebas dalam persekitaran yang mempunyai ketelusan dan akauntabiliti,” kata beliau.

Gobind juga berkata kebangkitan portal-portal berita dalam talian (yang rasmi dan sebaliknya) dan kewartawanan rakyat (citizen journalism) telah menjadikan kewartawanan benar-benar arus perdana, dan tidak lagi dikawal ketat oleh gelintir entiti yang berkuasa.

“Kecepatan berita disebarkan pada hari ini mewujudkan kerumitan-kerumitan baharu yang memerlukan perhatian dan penyelesaian-penyelesaian secara ‘di luar kotak’ (out-of-the-box solutions),” katanya.

Gobind berkata sementara ia menjadi platform untuk masyarakat menyuarakan pandangan-pandangan mereka yang sudah tentu ia satu perkembangan yang positif, namun ia juga membawa bersamanya pelbagai cabaran.

“Ketika kita sedang bergelut dengan cabaran-cabaran baharu ini, seperti timbulnya banyak berita-berita tidak benar, separuh benar, maklumat yang mengelirukan dan menyeleweng, perlunya untuk sikap berhati-hati dan responsif, kini menjadi keutamaan kepada kebanyakan pertubuah, kerajaan dan masyarakat secara umumnya,” kata beliau.

Beliau berkata penembusan media sosial dan aplikasi-aplikasi pesanan pada hari ini membolehkan maklumat seumpama itu tersebar dengan lebih cepat dan lebih luas - menjadikan platform-platform ini sumber maklumat utama masyarakat.

Bagaimanapun, katanya platform-platform ini semakin cepat menjadi tempat untuk memanipulasikan kebenaran dan mempengaruhi pandangan orang ramai.

“Berdasarkan latar belakang ini dan dalam konteks inilah kita perlu melihat soal kebebasan media dari sudut pandangan yang berbeza,” kata beliau.

Gobind berkata memandangkan kerajaan menghormati dan menggalakkan kebebasan maklumat dan kebebasan berekspresi, “kita bukan saja mengharapkan standard yang tinggi daripada semua pemegang taruh tetapi ia mesti datang dengan satu tanggungjawab yang berat untuk menyebarkan berita dan maklumat yang boleh dipercayai.

“Kredibiliti adalah sangat diperlukan untuk kita membina kewartawanan yang benar dan jujur yang menginspirasikan kebolehpercayaan - satu penanda aras paling penting dalam industri media hari ini dan pada masa depan,” kata beliau.

Mengenai acara Open Talks@KL 2019 itu yang bertemakan ‘Akses kepada Maklumat – Tiada Sesiapa yang Ketinggalan di Belakang!’ beliau berkata kebebasan untuk berekspresi tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan dan tidak membawa sebarang faedah kepada masyarakat sekiranya masyarakat tidak mendapat akses yang mencukupi kepada maklumat.

Beliau juga berkata menjadikan maklumat lebih mudah diakses oleh golongan masyarakat yang kurang bernasib baik, berpotensi untuk memperbaiki kehidupan mereka, memberi peluang kepada mereka untuk memeningkatkan integrasi sosial dan ekonomi mereka dalam masyarakat dan memperbesarkan skop kegiatan yang boleh diceburi mereka.

Beliau berkata syarikat-syarikat telekomunikasi juga telah menurunkan harga pelan data mudah alih untuk golongan kurang bernasib baik, sejajar usaha kerajaan untuk menjadi lebih inklusif dan majmuk.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu