Potensi industri pelancongan Malaysia belum diterokai sepenuhnya - Marriott International [ 13m ago ]

RHB Research naikkan harga sasaran MAHB kepada RM9.50

Tarikh kemaskini: 12/09/2019
KUALA LUMPUR, 12 Sept -- RHB Research mengekalkan saranan ‘beli’ bagi saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berikutan penilaian menarik dan pendapatan mampannya dengan menaikkan harga sasaran kepada RM9.50 daripada RM9.20 sebelumnya.

Firma penyelidikan itu berkata berita caj perkhidmatan penumpang (PSC) yang lebih rendah dan masalah sistem yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 baru-baru ini hanya memberi kesan minimum kepada pendapatan syarikat itu.

“Pada masa ini, kami menjangkakan kemungkinan penalti sehingga RM2 juta yang akan dibayar oleh MAHB kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), berkaitan tempoh masa empat hari semasa kualiti perkhidmatan terjejas di bawah Kualiti Perkhidmatan (QoS),” kata RHB Research dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Selain itu, tiga pelanggan utama MAHB -- Malaysia Airlines, AirAsia dan Malindo -- telahpun menyatakan bahawa mereka tidak akan memfailkan sebarang tindakan undang-undang terhadap MAHB.

“Anggaran RM2 juta impak kepada pendapatan itu bergantung kepada andaian bahawa tidak ada syarikat penerbangan lain akan akan menyaman MAHB,” kata firma penyelidikan itu.

RHB Research berkata pengurangan hasil susulan PSC yang lebih rendah akan diimbangi oleh perbelanjaan rendah dalam bentuk fi pengguna rendah yang dibayar kepada kerajaan.

“Kami menaikkan nilai operasi MAHB di Malaysia selepas mengurangkan beta, bagi mencerminkan peningkataan kepastian prospek pendapatannya.

“MAVCOM dijangka mengumumkan PSC baharu itu dalam dua atau tiga minggu lagi bagi pelaksanaan pada 1 Jan, 2020, dan ini akan memberikan sedikit kejelasan dalam pendapatan mampan MAHB pada masa depan,” katanya.

Pada 4 petang hari ini, harga saham MAHB meningkat 10 sen kepada RM8.60 dengan 254,200 unit bertukar tangan.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu