Fuziah: K'jaan mahu jadikan waqaf satu 'jenama dalam keluarga' [ 7h ago ]

Pelaksanaan cukai digital perlu langkah keseimbangan - Fusionex

Tarikh kemaskini: 12/09/2019
Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 12 Sept -- Pelaksanaan cukai digital pada tahun depan akan memerlukan keseimbangan antara keperluan penyedia perkhidmatan dan pengguna akhir untuk memastikan peralihan yang lancar dan mengelak kekeliruan dalam kalangan pengguna, kata pakar industri teknologi.

Chua Yu Ye, Pengarah Urusan (Perusahaan dan Sektor Awam) syarikat Kecerdasan Buatan Antarabangsa dan Data Raya Fusionex International, berkata jika pelaksanaannya menghadapi kekurangan, ia akan menyebabkan landskap digital tempatan berada pada kedudukan kurang berdaya saing berbanding pasaran serantau yang lain.

“Pada masa ini, kerajaan mahu menjadikan industri tempatan lebih kompetitif (dengan mengenakan cukai ke atas peserta asing) tetapi dengan adanya cukai, terdapat kemungkinan yang tinggi kos tambahan akan dipindahkan kepada pengguna akhir, yang akan menanggung caj lebih tinggi,” katanya kepada Bernama.

Dalam pengumuman Belanjawan 2019 pada tahun lepas, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata negara akan melaksanakan cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus ke atas perkhidmatan digital asing termasuk perisian, muzik, video dan pengiklanan digital.

Antara perkhidmatan hiburan yang akan dikenakan cukai mulai 1 Jan, 2020, ialah perkhidmatan penstriman muzik Spotify, laman penstriman video Netflix dan platform pengedaran permainan Steam.

Ditanya sama ada kerajaan perlu menangguhkan cukai baharu itu buat masa ini, katanya beliau memahami pandangan kerajaan dalam melaksanakannya.

“Akan terdapat kebaikan dan keburukannya. Bagaimanapun, terdapat cara untuk memastikan walaupun cukai dilaksanakan, kerajaan masih dapat mengekalkan daya saing peserta digital, seperti menyediakan insentif cukai," katanya.

Mengenai Belanjawan 2020 yang akan datang, Chua berkata syarikat berharap kerajaan akan memperkenalkan insentif tertentu untuk meningkatkan segmen Data Raya dan Kecerdasan Buatan (AI), yang kini antara topik utama dibincangkan di negara ini.

“Selain menyediakan rangsangan untuk Data Raya dan AI, kami turut berharap kerajaan dapat terus meningkatkan akses jalur lebar di seluruh negara dan menyediakan insentif cukai tertentu kepada penyedia perkhidmatan teknologi untuk memastikan persekitaran yang kompetitif bagi mereka di sini berbanding kawasan lain di rantau ini,” katanya.

-- BERNAMA








       Berita Utama Terdahulu