Polis Kemboja selamatkan wanita warga Thailand ditahan sebagai tebusan oleh 4 rakyat Malaysia [ 5h ago ]

Laporan menyeluruh PR1MA akan dibentangkan setelah bahagian kewangannya diterima

Tarikh kemaskini: 12/09/2019

PUTRAJAYA, 12 Sept -- Laporan penilaian menyeluruh untuk mengenal pasti hala tuju skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) akan dibentangkan ke Kabinet sebaik sahaja bahagian terperinci berkaitan kewangannya diterima, menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata terdapat dua bahagian bagi laporan tersebut iaitu kewangan dan pengurusan.

Penilaian menyeluruh ke atas kewangan PR1MA akan diterima pada bila-bila masa dari sekarang manakala bagi bahagian pengurusan pula telah diterima, katanya kepada pemberita selepas melancarkan Hari Inovasi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di sini, hari ini.

Dilaporkan sebelum ini bahawa PR1MA mengalami liabiliti berjumlah RM23 bilion, bagaimanapun selepas setahun, agensi perumahan itu dapat menyelesaikan 50 peratus daripada masalah mereka dan mengurangkan liabiliti kepada RM12 bilion.

Zuraida berkata kerajaan telah memberikan jaminan bahawa tidak akan menamatkan PR1MA dan komited untuk memastikan semua projek berkaitan agensi perumahan itu dapat disiapkan.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu