Perintah berkurung di ESSZone dilanjutkan sehingga 7 Disember [ 18m ago ]

Usahawan Bumiputera perlu kuasai kemahiran, pengetahuan ekonomi digital - SME Corp

Tarikh kemaskini: 12/09/2019
KUALA LUMPUR, 12 Sept -- Usahawan Bumiputera perlu mempersiapkan diri dengan kemahiran dan pengetahuan mengenai ekonomi digital supaya tidak ketinggalan dalam dunia perniagaan, kata Pengerusi SME Corporation Datuk Seri Syed Hussien Al Habshee.

Beliau berkata kurang peka terhadap perkembangan semasa menjadi punca perniagaan mereka berada di takuk yang sama.

"Sekarang adalah masanya kita mengorak langkah melengkapkan diri dengan ilmu yang diperlukan, kita tidak boleh lambat, kalau tidak… kita akan jauh tercicir ke belakang.

"Saya juga merancang melalui SME Corp untuk menganjurkan latihan kemahiran kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) supaya mereka lebih peka dengan perkembangan teknologi dan mungkin kita akan bekerjasama dengan platform e-ilmu bisnes, Ruang Cikgu (RC), memandangkan mereka mempunyai platform yang kita perlukan," katanya ketika berucap melancarkan Forum Perniagaan RC: Wacana Pendidikan Online untuk Usahawan, di sini hari ini.

Syed Hussien berkata galakan seperti perkongsian ilmu dan maklumat seperti dianjurkan RC pada hari ini sangat penting agar menjadikan usahawan-usahawan Bumiputera berdaya saing dan meningkatkan ekonomi perniagaan masing-masing.

"RC merupakan satu konsep baharu, saya ucapkan tahniah kepada pengasas platform ini, bagi saya ia merupakan idea yang sangat inovatif kerana memberi ruang kepada usahawan berjaya untuk berkongsi pengalaman perniagaan mereka selain memberi tip serta rahsia kejayaan kepada mereka yang ingin memulakan perniagaan.

"Saya dapat lihat juga, RC ini dapat merapatkan jurang peluang di antara mereka di luar bandar dan bandar, selain mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa teknologi yang boleh diguna pakai di rantau ini," katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu