Filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal tersenarai dalam pencalonan Oscar 2020 [ 2h ago ]

Gula MSM adalah patuh syariah

Tarikh kemaskini: 12/09/2019
KUALA LUMPUR, 12 Sept -- Pengeluar gula bertapis MSM Malaysia Holding Bhd telah memberi jaminan bahawa produk gulanya adalah 100 peratus halal serta disahkan oleh pihak berkuasa Malaysia seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata kesemua produknya seperti 'Gula Prai ' adalah mematuhi piawaian keselamatan makanan yang tertinggi merangkumi pensijilan halal yang komprehensif dari ladang sehingga ke meja, meliputi semua bahan dari sumber utama, seluruh proses pengilangan dan pengedaran.

"MSM dapat menjamin proses penapisan ini supaya patuh dengan hukum Islam berikutan proses pelunturan warna dibuat dengan menggunakan Resin Pertukaran Ion (IER) dan Granulasi Karbon yang Diaktifkan (GAC) adalah bebas daripada semua kaedah bukan halal yang sering dipakai oleh syarikat penapisan yang lain.

"Karbon yang Diaktif yang digunakan dalam peringkat pelunturan warna adalah halal dan berasal daripada arang batu," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Khairil Anuar Aziz ketika menasihatkan pengguna agar berhati-hati apabila membeli produk gula yang diimport.

Ini disebabkan timbulnya kebimbangan mengenai arang atau karbon daripada tulang-temulang haiwan yang dibakar hangus.

Walaupun kaedah ini lebih murah daripada karbon yang diaktifkan secara komersial, beliau tidak menolak jika karbon tulang-temulang itu terhasil daripada haiwan yang disembelih dengan tidak mengikut hukum atau haiwan itu sendiri adalah haram.

Selain itu, Khairil Anuar berkata, gula import yang dibawa ke Malaysia pada harga yang lebih rendah mungkin tidak mempunyai pensijilan halal yang sah dan sumber bahan mentah serta proses pembuatannya tidak boleh ditentukan.

"Sebagai peneraju pasaran, kilang penapis MSM sentiasa diaudit untuk memastikan semua proses adalah mematuhi peraturan bagi memastikan penghantaran produk gula yang konsisten serta berkualiti tinggi.

"Semua pembekal MSM yang diperakui juga akan disahkan bagi menentukan bahan-bahan yang mereka gunakan adalah sebahagian daripada proses pematuhan yang ketat, dan semua piawaian pensijilan dipaparkan dengan jelas pada bungkusan dan di laman web MSM untuk memudahkan pengenalpastian serta rujukan," katanya lagi.

MSM, merupakan sebuah anak syarikat FGV Holdings Bhd yang menawarkan pelbagai gred gula yang ditapis termasuk gula kasar, gula pasir halus, gula kastor, aising dan gula perang.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu