Restoran makanan laut Malaysia bakal dibuka di Mauritius [ 8m ago ]

Celcom beroperasi seperti biasa walaupun penggabungan tidak diteruskan

Tarikh kemaskini: 12/09/2019
KUALA LUMPUR, 12 Sept -- Celcom Axiata Bhd beroperasi seperti biasa walaupun cadangan penggabungan antara syarikat induk Axiata Group Bhd dan Telenor ASA yang berpangkalan di Norway telah ditamatkan baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Idham Nawawi berkata syarikat itu akan meneruskan pelaburannya ketika meningkatnya persaingan dalam industri telekomunikasi.

“Kami di Celcom sentiasa memberi tumpuan kepada perniagaan seperti biasa semasa rundingan dan perbincangan mengenai penggabungan itu.

“Kami sentiasa fokus kepada pasaran, kelancaran, mendapatkan lebih ramai pelanggan dan menjana lebih banyak pendapatan,” katanya pada taklimat media mengenai prestasi perniagaan Celcom bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2019 di sini hari ini.

Sehingga kini, Celcom mempunyai lebih 12 juta pengguna bagi rangkaian 2G, 3G and 4G LTE+, merangkumi lebih 90 peratus daripada penduduk.

Ketika ditanya mengenai langkah penggabungan global akibat persaingan sengit dalam industri, Idham berkata keadaan itu telah berlaku di seluruh dunia dengan tiga hingga empat penggiat bagi setiap pasaran.

“Kepantasan teknologi baharu menjadi faktor kepada keadaan ini. Di Malaysia, kita mempunyai 30 juta penduduk dengan penembusan (mudah alih) sebanyak 130 peratus.

“Jika anda bertanya kepada diri anda sendiri sama ada penggabungan itu perlu, berkemungkinan ‘ya’, namun, sama ada pasaran mampu mengekalkan bilangan penggiat pasaran yang kita ada ketika ini,” klata beliau.

Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan Celcom, Jennifer Wong berkata pengendali telco itu memperuntukkan kira-kira RM1 bilion perbelanjaan modal bagi tahun kewangan semasa dengan RM394 juta digunakan khusus untuk rangkaian.

Di masa depan, Idham berkata Celcom telah mula meneroka kerjasama dengan pelbagai rakan kongsi teknologi dan penyedia platform sebagai persediaan bagi Revolusi Perindustrian Keempat.

“Celcom akan terus memberi tumpuan kepada keuntungan dan kecemerlangan operasi menerusi pelaburan yang bijak melibatkan peningkatan infrastruktur rangkaian secara berterusan dengan kos operasi lebih rendah,” katanya.

Celcom mencatat kenaikan 34 peratus tahun ke tahun ke atas trafik data dengan 265 juta GB pada suku kedua tahun ini, manakala perkhidmatan video menyumbang lebih 50 peratus kepada jumlah penggunaan data pengguna Celcom.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu