Filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal tersenarai dalam pencalonan Oscar 2020 [ 2h ago ]

KDNK lebih kukuh pada suku kedua sokong keputusan BNM kekalkan OPR - penganalisis

Tarikh kemaskini: 12/09/2019
Oleh Aishah Mohmad Afandi

KUALA LUMPUR, 12 Sept -- Ahli ekonomi percaya keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus hari ini berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih kukuh dicatatkan pada suku kedua tahun ini.

Bagaimanapun, mereka tidak menolak kemungkinan penurunan kadar pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang akan datang pada November.

Malah, Ketua Ekonomi Bank Islam Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kemungkinan untuk penurunan kadar pada November meningkat.

"Inflasi dicatatkan pada kadar yang amat rendah manakala prospek pertumbuhan amat mencabar berdasarkan perang perdagangan antara AS dan China yang tidak menentu serta UK Brexit.

"Oleh itu, skop untuk akomodatif dasar monetari terbuka luas. Ia merupakan persoalan mengenai masa dan jumlah pengurangan," katanya kepada Bernama.

Berkongsi pandangan yang sama, Ahli Strategi Pasaran Asia Pasifik Axi Trader Stephen Innes berkata tahap aktiviti ekonomi pada 2020 kekal tidak pasti.

Beliau berkata dengan keputusan suku kedua yang kukuh dan data eksport yang positif, BNM dijangka mengekalkan kadar tersebut hingga selepas situasi global menunjukkan petunjuk negatif.

Sementara itu, MIDF Research dalam nota hari ini berkata keputusan BNM mengekalkan OPR sejajar dengan jangkaannya berikutan prestasi perdagangan luaran yang semakin pulih susulan kembali positif walaupun import kekal negatif, justeru meningkatkan lebihan dagangan.

Katanya pelonggaran dasar monetari di beberapa negara utama telah mengurangkan keadaan kewangan global, tetapi tidak menentu daripada pertikaian perdagangan yang berpanjangan dan perkembangan geopolitik yang boleh membawa kepada turun naik dalam pasaran kewangan.

"Kebimbangan mengenai pertikaian perdagangan AS-China kekal tetapi mengurangkan kegelisahan buat sementara waktu berikutan kedua-dua negara itu menangguhkan pusingan terkini kenaikan tarif mereka. Di peringkat tempatan, jualan pengedaran terus berkembang tetapi pada kadar yang agak sederhana," katanya.

Dalam kenyataan hari ini mengenai OPR dikekalkan, BNM berkata ekonomi dunia sedang berkembang pada kadar lebih sederhana berikutan pertumbuhan lebih perlahan dalam kebanyakan ekonomi maju utama dan negara sedang pesat membangun.

Katanya MPC akan terus menilai imbangan risiko terhadap prospek pertumbuhan dalam negeri dan inflasi, memastikan pendirian dasar monetari terus kondusif terhadap pertumbuhan yang berterusan dalam keadaan harga yang stabil.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu