Pico Hydro menang cabaran perniagaan MTDC 2019 [ 6m ago ]

Azmin tidak mohon sertai Bersatu - Dr Mahathir

Tarikh kemaskini: 15/09/2019
Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Gambar fail)

PUTRAJAYA, 15 Sept -- Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menolak andaian Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bakal menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pimpinannya.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu berkata kehadiran Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR serta beberapa pimpinan parti itu pada sambutan ulang tahun ketiga Bersatu di Shah Alam pada Khamis lepas bukan petanda mereka akan menyertai Bersatu.

Menurutnya, kehadiran pemimpin parti dalam Pakatan Harapan (PH) termasuk Mohamed Azmin pada sambutan ulang tahun itu adalah atas jemputan kepada pemimpin utama parti.

"Ramai (yang) datang tapi mereka tidak menyatakan hasrat untuk menyertai Bersatu,” kata Dr Mahathir yang ditemui selepas menyaksikan acara The Putrajaya Boat Race 2019, pertandingan mendayung perahu, di sini hari ini.

"Azmin pun tidak buat apa-apa permohonan. Kalau ada permohonan, kita pertimbanglah," katanya mengulas spekulasi Mohamed Azmin mungkin menyertai Bersatu selepas beliau dilihat hadir pada sambutan ulang tahun Bersatu.

Mengenai Piagam Muafakat Nasional yang dimeterai UMNO dan PAS semalam, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), berkata beliau tidak faham bagaimana kedua-dua parti itu boleh bekerjasama.

"Saya tidak faham bagaimana UMNO boleh bekerjasama dengan PAS kerana Umno kafir," kata beliau merujuk kepada kenyataan PAS sebelum ini yang melabelkan UMNO sebagai parti kafir.

Ditanya mengenai kenyataan pemimpin parti tersebut bahawa kerjasama itu bukan mengenai sentimen perkauman dan agama, Dr Mahathir berkata: ‘Selalunya mengenai kaum dan agama. (Tetapi) Jika untuk membangkitkan perasaan perkauman, saya rasa itu salah.

Semalam, UMNO dan PAS memeterai piagam kerjasama yang dinamakan Piagam Muafakat Nasional pada Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapannya pada perhimpunan itu menyeru semua pihak agar tidak perlu bimbang terhadap penyatuan dalam kalangan orang Melayu yang dianjurkan PAS dan UMNO, kerana Islam bermula dengan membina integriti individu, keluarga, bangsa dan negara bermasyarakat majmuk.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapannya pula dilaporkan berkata UMNO dan PAS tidak perlu terperangkap dalam "politik perkauman sempit" kerana ia bercanggah dengan fitrah Islam yang menganjurkan kesederhanaan dan menghormati agama lain selari dengan Perkara 3 (1) Perlembagaan Negara.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu