Negeri Sembilan pertimbang cadangan bina parkir bertingkat di KTM Sungai Gadut [ 3m ago ]

Pelajar Malaysia digalak sertai program Space Camp di AS

Tarikh kemaskini: 16/09/2019
Kamala Shirin Lakhdhir

KUALA LUMPUR, 15 Sept -- Pelajar Malaysia berpeluang menyertai Advanced Space Academy di Space Camp di Huntsville, Alabama, Amerika Syarikat, pada musim panas 2020, kata Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir.

Semasa membuat pengumuman khas kepada media hari ini, beliau berkata Kedutaan AS dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan rangkaian #mydigitalmaker Association, kini mencari pemimpin muda berumur antara 15 hingga 18 tahun untuk menyertai Program Pertukaran 2020 Space Camp.

"Bersempena ulang tahun ke-50 pendaratan Apollo di bulan, kedutaan telah menganjurkan beberapa program yang mempromosikan pendidikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) dan juga belajar di AS untuk belia Malaysia menerusi kempen yang dikenali sebagai 'Beyond the Moon '.

"Kami sangat teruja dengan pengalaman pendidikan melibatkan penyertaan sendiri ini untuk rakyat Malaysia dan menggalakkan mereka (belia) memohon untuk peluang sekali seumur hidup yang hebat ini apabila ia (permohonan Space Camp) dibuka pada akhir tahun ini," katanya semasa lawatannya ke #mydigitalmaker Fair 2019 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Turut hadir Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekiitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin.

Mengulas lanjut mengenai program itu, Kamala berkata program berkenaan bertujuan untuk menunjukkan sokongan AS terhadap pendidikan STEM di Malaysia serta mendedahkan peserta kepada budaya Amerika melalui pertukaran sains dan budaya.

Beliau turut mengingatkan pelajar Malaysia agar terus mengikuti perkembangan terkini mengenai program itu yang akan dibuka tidak lama lagi dan akan disiarkan di laman web Kedutaan AS dan juga laman web #mydigitalmaker serta saluran media sosialnya.

Sementara itu, Yeo berkata peluang yang ditawarkan kepada warga Malaysia oleh Kedutaan AS adalah seiring dengan usaha kerajaan untuk menggalakkan lebih ramai golongan muda menyertai program tersebut serta meluaskan minat mereka ke arah pendidikan STEM.



-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu