Treler terbalik: Jalan Seremban - Tampin terhalang [ 3m ago ]

'Siaran Langsung Kebangsaan Pelbagai Bahasa Tanpa Henti Paling Lama' bermula 7 pagi di semua platform Bernama

Tarikh kemaskini: 16/09/2019
KUALA LUMPUR, 16 Sept -- "Siaran Langsung Kebangsaan Pelbagai Bahasa Tanpa Henti Paling Lama" terbitan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang bakal menyajikan pelbagai rancangan serta informasi berguna bersempena dengan Hari Malaysia bermula 7 pagi ini.

Siaran langsung tanpa henti selama 24 jam sehingga 9 pagi esok yang bakal dicatatkan dalam Malaysia Book of Records (MBOR) akan turut menyajikan pelbagai rancangan interaktif dan bual bicara dalam empat bahasa menerusi semua saluran Bernama -- Bernama News Channel (BNC), Bernama Radio, Bernama.com serta semua platform media sosial agensi berita itu.

Berita Ekstra yang bersiaran selama 15 minit dan boleh didengari melalui saluran Bernama Radio membuka tirai pagi diikuti dengan lintas langsung bersama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) Datuk Suriani Ahmad di Kuching, Sarawak.

Siaran tanpa henti itu juga akan menampilkan program bual bicara bersama ahli politik, tokoh korporat, atlet dan selebriti termasuk liputan berita bersempena sambutan Hari Malaysia di Kuching, Sarawak serta negeri lain.

Antara tetamu jemputan yang akan menjayakan program 24 jam tersebut adalah aktivis masyarakat Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang dalam satu daripada program bual bicara ‘Hidup Bermuafakat’.

Selain itu, program pada hari pertama juga akan diserikan dengan penampilan penyanyi dan pengacara iaitu Mark Adam menerusi slot ‘Malaysia Rumah Kedua Kami’.

Antara nama besar lain yang akan turut serta dalam rancangan selama 24 jam itu adalah penyanyi popular Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin dan Francissca Peter, bekas atlet kebangsaan Roslin Hashim dan Azman Adnan serta penganalisis jenayah Kamal Affendy Hashim.

“Siaran Langsung Kebangsaan Pelbagai Bahasa Tanpa Henti Paling Lama" itu mendapat tajaan Terra Security, Maad Travel dan Fomema Sdn Bhd.

Program itu akan menyiarkan pelbagai berita menarik dan lintas langsung melibatkan kira-kira 200 editor/penyunting, wartawan dan wartawan penyiaran, penerbit, jurukamera, kru teknikal serta jabatan lain di bawah Bernama.

Penonton dan pendengar juga berpeluang memenangi hadiah bernilai RM81,000 termasuk satu pakej percutian untuk dua orang ke Pulau Jeju, Korea Selatan dengan menjawab kuiz mengenai Hari Kemerdekaan, Hari Malaysia dan Bernama yang bakal ke udara setiap satu jam.

Program itu akan bersiaran di BNC saluran Astro 502, UnifiTV (631), MYTV (121), iflix, dan Bernama Radio melalui FM93.9 (Kuala Lumpur), FM107.5 (Johor Bahru), FM100.9 (Kuching) dan FM 107.9 (Kota Kinabalu).

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu