Hakim gagal isytihar harta dikenakan tindakan Kod Etika Hakim 2009 [ 2m ago ]

KKMM sasar NFCP capai minimum 500mbps di semua ibu negeri menjelang 2021

Tarikh kemaskini: 16/09/2019
KUCHING, 16 Sept -- Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menyasarkan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) mencapai minimum 500 Mbps di 100 peratus premis di semua ibu negeri dan kawasan berimpak tinggi terpilih menjelang tahun 2021.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata bagi kawasan berpenduduk pula, KKMM menyasarkan 98 peratus kawasan mempunyai akses itu dengan mencapai kelajuan purata 30Mbps menjelang tahun 2023.

“Kementerian ini amat menyedari keperluan untuk meningkatkan usaha mengukuhkan infrastruktur telekomunikasi bagi memastikan Malaysia mampu menghubungkan rakyatnya, perniagaan dan industri ke dunia global.

“Kepentingan penembusan jalur lebar adalah satu daripada penentu kelangsungan ekonomi negara. Kerajaan juga komited dalam mengiktiraf kesalinghubungan sebagai utiliti sama seperti bekalan air dan elektrik,” katanya semasa berucap pada program Merdeka@Komuniti 2019 di Balai Raya Kampung Saratau di sini hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Puncak Borneo Willie Morgan dan Ketua Pengarah Penerangan, Roselindawati Abdul Rahman.

Program hari ini merupakan satu daripada usaha kerajaan untuk menjalin ikatan kerjasama antara pemimpin dan masyarakat setempat sebagai rakan strategik dalam usaha membangunkan negara.

Sementara itu Willie berterima kasih kepada KKMM kerana atas usaha dan komitmen Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, kini di kawasannya sudah mempunyai akses komunikasi yang lebih baik.

“Di kawasan Puncak Borneo sudah terdapat 20 menara komunikasi yang telah siap dibina manakala saya difahamkan lapan daripadanya sudah pun ‘on-air,” katanya dalam ucapan alu-aluan pada program berkenaan.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu