Pico Hydro menang cabaran perniagaan MTDC 2019 [ 5m ago ]

'Siaran Langsung Kebangsaan Pelbagai Bahasa Tanpa Henti Paling Lama' berjalan lancar

Tarikh kemaskini: 16/09/2019
Penonton dan para pendengar terutamanya warga Malaysia dapat melihat siaran secara langsung di laman sesawang Bernama Web TV (http://webtv.bernama.com/) di mana sahaja.
KUALA LUMPUR, 16 Sept -- Hasrat Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) menempa nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) melalui "Siaran Langsung Kebangsaan Pelbagai Bahasa Tanpa Henti Paling Lama" menerima reaksi positif daripada netizen dan berjalan lancar setakat ini.

Menyajikan informasi berguna bersempena dengan Hari Malaysia bermula 7 pagi tadi, Pengerusi Jawatankuasa Kandungan program 24 jam itu Hakimi Mohd Zain berkata selepas lima jam berlangsung semua program yang dijadualkan bersiaran mengikut perancangan.

Siaran langsung tanpa henti sehingga 9 pagi esok itu akan menyiarkan pelbagai rancangan interaktif dan bual bicara dalam empat bahasa menerusi semua saluran Bernama -- Bernama News Channel (BNC), Bernama Radio, Bernama.com serta semua platform media sosial agensi berita itu.

"Content (kandungan) kita masih kekal mengenai eleman patriotik, sehingga ini peralihan dari studio-ke -studio berjalan lancar ...kita sudah bersiaran dari Sarawak, Jakarta (Indonesia) dan Singapura.

"Di media-media sosial kita ramai yang mengikutinya memberikan komen-komen positif, kita juga terima banyak pemanggil. Saya berharap program ini berjalan lancar sehingga ke penghujung kerana masih berbaki 19 jam lagi," katanya yang juga Ketua Pegawai Operasi BNC.

Program itu membuka tirai dengan lintas langsung bersama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) Datuk Suriani Ahmad di Kuching, Sarawak.

Siaran tanpa henti itu juga akan menampilkan program bual bicara bersama ahli politik, tokoh korporat, atlet dan selebriti termasuk liputan berita bersempena sambutan Hari Malaysia di Kuching, Sarawak serta negeri lain.

“Siaran Langsung Kebangsaan Pelbagai Bahasa Tanpa Henti Paling Lama" itu mendapat tajaan Terra Security, Maad Travel dan Fomema Sdn Bhd.

Program itu akan menyiarkan pelbagai berita menarik dan lintas langsung melibatkan kira-kira 200 editor/penyunting, wartawan dan wartawan penyiaran, penerbit, jurukamera, kru teknikal serta jabatan lain di bawah Bernama.

Penonton dan pendengar juga berpeluang memenangi hadiah bernilai RM81,000 termasuk satu pakej percutian untuk dua orang ke Pulau Jeju, Korea Selatan dengan menjawab kuiz mengenai Hari Kemerdekaan, Hari Malaysia dan Bernama yang ke udara setiap satu jam.

Program itu akan bersiaran di BNC saluran Astro 502, UnifiTV (631), MYTV (121), iflix, dan Bernama Radio melalui FM93.9 (Kuala Lumpur), FM107.5 (Johor Bahru), FM100.9 (Kuching) dan FM 107.9 (Kota Kinabalu).

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu