'Pelajar asing tanpa izin' diserbu imigresen [ 29m ago ]

Kerajaan N. Sembilan bekal air ke Melaka

Tarikh kemaskini: 16/09/2019
Datuk Seri Aminuddin Harun

SEREMBAN, 16 Sept -- Kerajaan Negeri Sembilan menerusi Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) telah membekalkan air bersih ke Melaka bagi membantu negeri itu yang ketika ini sedang berhadapan dengan krisis bekalan air.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata setakat ini paras empangan di negeri ini berada pada tahap baik selain mencukupi untuk dikongsikan ke beberapa kawasan yang terjejas di Melaka.

"Kita tahu masalah air di negeri Melaka pada masa ini agak meruncing dan ketika saya pergi ke Melaka dua hari lepas, saya dimaklumkan mereka memerlukan bekalan air. Kita memang sedia ada mempunyai perjanjian persefahaman (MoU) dengan kerajaan Melaka bagi membekalkan air bersih.

“Empangan kita pun setakat ini tidak ada satu pun yang berada pada paras kritikal dan masih berada pada tahap yang baik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Hari Malaysia 2019 DUN Sikamat di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata bantuan bekalan air bersih itu berdasarkan MoU antara Sains dengan kerajaan negeri Melaka menerusi Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) pada 19 Jun lepas.

Menerusi perjanjian itu, Sains akan membekalkan sejumlah 12 juta liter air bersih tambahan sehari pada kadar RM1.40 untuk setiap meter padu berkuatkuasa 19 Jun lepas sehingga sehingga 31 Disember tahun depan.

Sabtu lepas, Ketua Menteri Melaka Adly Zahari dalam satu kenyataan berkata purata hujan yang rendah menyebabkan paras air di empangan negeri, takungan dan Sungai Melaka merosot dan menyebabkan beberapa kawasan di negeri itu mengalami gangguan bekalan air.

Terdahulu, Aminuddin dalam ucapannya menyeru masyarakat agar sentiasa mengekalkan perpaduan kerana keharmonian masyarakat majmuk di negeri ini akan menyumbang kepada kestabilan politik, kemajuan ekonomi dan kemakmuran sosial seperti yang dikecapi sekarang.

"Hasrat saya ingin melihat semua golongan mementingkan keamanan dan perpaduan di samping memupuk gaya hidup sihat.

"Diharapkan penyertaan masyarakat pada karnival ini memberi galakan kepada mereka untuk bergaul merentasi perbezaan bangsa dan agama selain memberikan kesan positif kepada kesihatan dan kecerdasan tubuh badan kita," katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu