Hujan lebat akibatkan tebing jalan kawasan perumahan di Kulai runtuh [ 3h ago ]

Rakyat Malaysia mati ditikam dalam pergaduhan di Sadao

Tarikh kemaskini: 16/09/2019
Oleh Linda Khoo Hui Li

BANGKOK, 16 Sept -- Seorang lelaki warga Malaysia maut selepas ditikam oleh seorang pengawal keselamatan dalam pergaduhan di Sadao, Songkhla, selatan Thailand awal pagi tadi.

Kejadian berlaku pukul 2 pagi (waktu tempatan) apabila lelaki berusia 46 tahun dari Pulau Pinang bergaduh dengan pengawal keselamatan tersebut di sebuah apartmen.

Penyiasat Polis Sadao, Kapten Pairote Wongtawin berkata suspek berusia 46 tahun itu mendakwa mangsa cuba memasuki apartmen tanpa kad akses.

Dia berkata mangsa dikatakan mengekori seorang wanita tempatan ke apartmen tersebut dan cuba masuk melalui pintu kaca.

"Suspek yang bertugas ketika itu memberitahu mangsa untuk berhenti. Bagaimanapun, pergaduhan kemudian berlaku, menyebabkan mangsa ditikam.

"Suspek mendakwa dia ditumbuk dahulu oleh mangsa yang memaksanya menikam lelaki itu di perut,” kata beliau kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Sadao.

Suspek sementara itu, menunggu di tempat kejadian sebelum menyerah diri kepada polis.

Beliau menambah, suspek didakwa atas tuduhan membunuh. Suspek menghadapi hukuman penjara seumur hidup, jika didapati bersalah.

"Ahli keluarga mangsa telah dimaklumkan tentang kejadian itu. Saudara lelaki mangsa tiba hari ini untuk urusan membawa balik mayatnya yang dijangka diterbangkan ke Pulau Pinang esok.

-- BERNAMA










       Berita Utama Terdahulu