Polis Kemboja selamatkan wanita warga Thailand ditahan sebagai tebusan oleh 4 rakyat Malaysia [ 25m ago ]

Jerebu: 99 sekolah lagi ditutup di Selangor

Tarikh kemaskini: 18/09/2019
SHAH ALAM, 18 Sept -- Sebanyak 99 sekolah lagi di daerah Petaling Perdana, Kuala Selangor, Gombak dan Petaling Utama ditutup, menjadikan sekolah yang ditutup hari ini di Selangor ialah 214 sekolah.

Menurut Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan pagi ini, penutupan itu dibuat susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan itu melebihi 200, iaitu pada tahap sangat tidak sihat, bermula 12 tengah malam tadi.

”Penambahan 99 sekolah daripada 115 buah sekolah, dibuat berdasarkan bacaan IPU di stesen Shah Alam. Ini menjadikan jumlah pelajar yang terlibat dalam penutupan sekolah seramai 231,921 orang,” menurut kenyataan itu.

Katanya, sebarang perubahan atau maklumat terbaharu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Dalam kenyataan KPM malam tadi, sebanyak 115 sekolah di daerah Sepang, Hulu Langat, Kuala Langat, Klang dan Sabak Bernam ditutup pagi ini, susulan keadaan jerebu yang serius di kawasan berkenaan.

Sementara itu, menurut laman web Jabatan Alam Sekitar setakat pukul 7 pagi ini, bacaan IPU di Shah Alam adalah 219, Petaling Jaya (202), Klang (202) dan Banting (187).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu