Polis Kemboja selamatkan wanita warga Thailand ditahan sebagai tebusan oleh 4 rakyat Malaysia [ 25m ago ]

Aktivti Ekstrem Tarikan Surabaya

Tarikh kemaskini: 18/09/2019
Wisata Gunung Banyak Batu di Kota Batu iaitu tempat permulaan untuk melakukan aktiviti luncur udara (paragliding) --fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
Oleh Noorazlina Jindeh

SURABAYA (Indonesia) (Bernama) -- Gementar… amat gementar apabila mengetahui bahawa peserta program berpeluang melakukan aktiviti ekstrem luncur udara atau paragliding dan meredah jeram.

Namun, apabila pihak penganjur memberitahu bahawa masing-masing akan melakukan aktiviti luncur udara itu secara berdua bersama pilot peluncur professional, rasa gementar perlahan-lahan beransur reda.

Lawatan seminggu ke Surabaya (23 -27 Julai) amat bermakna bagi penulis kerana itulah pertama kalinya berpeluang melakukan kegiatan seumpamanya, yang tidak pernah terlintas pun sebelum ini di fikiran apatah lagi untuk melakukannya.

Apa pun, pengalaman melakukan aktiviti paragliding di Wisata Gunung Banyak dan mengharungi jeram di Sungai Kaliwatu di Kota Batu pasti menjadi kenangan sepanjang hayat.

Sebelum meluncur udara, pilot terlebih dahulu memasang kelengkapan yang diperlukan bagi memastikan peralatan lengkap dan selamat untuk penulis. Penulis juga diingatkan agar sentiasa mematuhi arahan sepanjang berada di udara terutamanya ketika mendarat.



15 MINIT YANG LAMA
Penulis(tengah) bersama ahli kumpulan menaiki bot meredah jeram di Sungai Kaliwatu sejauh tujuh kilometer di Kota Batu, Jawa Timur. --fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Run, run, run, run,” kata pilot sambil meluncur ke udara dan dengan sekelip mata, penulis sudah melayang dan berada di udara pada ketinggian lebih 1,000 meter. Tidak tergambarkan perasaan ketika mula meluncur selain cemas dan tempoh masa kira-kira 15 minit di awang-awangan dirasakan terlalu lama.

“Bagi yang baru meluncur angin memang terasa agak lama, walaupun hanya 15 minit di udara,” seloroh pilot ketika penulis meminta beliau supaya segera mendarat.

Semasa di udara angin menolak kuat ke atas menyebabkan penulis menjadi lebih cemas.

Bagaimanapun cuaca yang baik ketika itu bagaikan pemujuk hati, ditambah pula pemandangan dari udara amat mempesonakan, lantaran melenyapkan rasa gusar dan gementar.

Ketika agak leka dan mula berasa selesa di udara sambil menikmati pemandangan kebun sayur yang menghijau milik penduduk tempatan, pilot mengarahkan penulis supaya membengkokkan lutut sebagai persediaan untuk mendarat. Antara lega dan berat hati, kami mendarat dengan lancar.
Kawasan ini terletak dalam Muzium Angkut yang dibina berlatarbelakang seperti China Town. --fotoBERNAMA(2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Wisata Gunung Banyak yang dirasmikan pada 20 Jun 2000 mengenakan bayaran sebanyak Rp400,000 (kira-kira RM117) seorang, untuk setiap kali melalukan aktiviti meluncur udara. Kemudahan kafe juga disediakan untuk pelancong berehat.



PERAHU BERPUSING

Menaiki bas melalui jalan berbukit bukau selama kira-kira setengah jam, rombongan yang terdiri daripada 20 anggota media dan ejen pelancongan tiba di Waroeng Bamboe Lesehan Sidomoeljo untuk menjamu selera.

Sejam perjalanankemudiannya kami tiba di base camp Kaliwatu sebelum menaiki lori pickup menuju ke Sungai Kaliwatu untuk melakukan aktviti berakit sejauh tujuh kilometer.

Sebelum memulakan aktiviti, kami mendengar taklimat ringkas mengenai langkah keselamatan serta tindakan yang perlu dilakukan sekiranya perahu terbalik atau penumpang terjatuh.

Setiap perahu hanya membawa empat penumpang bersama seorang pendayung berpengalaman yang mengemudi perahu berkenaan.

Antara perkara penting yang perlu diberi perhatian ialah kedudukan jari ketika memegang pendayung bagi mengelak sebarang kecederaan kepada rakan yang berada di hadapan mahupun di tepi pendayung.

Sepanjang meredah sungai itu, ada kalanya perahu kami berpusing, tersangkut pada batu sungai, ke kiri dan ke kanan malah hampir terbalik apabila melalui jeram sehingga membuatkan suasana riuh dengan jeritan serta gelak tawa.

Kelihatan juga air mengalir masuk melalui tebing sungai yang menurut pendayung, adalah air dari kawasan sawah berhampiran. Selain bersawah, penduduk setempat juga menanam pokok kayu jati.

Menariknya ketika rombongan penulis sedang berkayuh, kelihatan beberapa penduduk kampung sedang memancing.

Kawasan berakit yang dibuka kira-kira 10 tahun lalu itu, beroperasi seawal 8 pagi sehingga 3 petang waktu tempatan. Setiap pakej berharga kira-kira RM57.00 hingga RM63.00) Rp195,000 hingga Rp215,000) bergantung pada jarak laluan.



PENTING AMBIL INSURAN

Pembantu Timbalan Pengarah Promosi Sabah, Sarawak & Brunei, Kementerian Pelancongan Republik Indonesia Santy Lusiani, 36, berkata pihaknya memperkenalkan aktiviti lasak untuk lawatan pada kali ini berikutan kajian mendapati golongan muda pada masa kini lebih gemar melakukan aktiviti lasak.

Bagaimanapun, faktor keselamatan tetap diberi keutamaan dengan kerjasama ejen pelancongan tempatan dengan mewajibkan mereka mengambil insurans masing-masing.

“Semua pakej yang dipromosi ke Malaysia disertai insurans kerana kita tidak bisa (boleh) jangka, apalagi seperti Gunung Bromo yang baru sahaja dalam istilahnya batuk,” tambah beliau.

Lawatan seterusnya adalah ke Kota Batu yang mempunyai 12 taman tema iaitu Jawa Timur Park 1, Museum Tubuh, Batu Secret Zoo, Museum Satwa, Eco Green Park, Museum Angkut, Predator Fun Park, Batu Night Spectacular, Dino Park, The Legend Starks Park, Fun Tech Plaza dan Museum Musik Dunia.

Menurut Eksekutif Pemasaran Jawa Timur Park (JTP) Group Yokka Rhismadora, 29, (he) kenderaan e-bike disediakan bagi memudahkan pengunjung mengelilingi taman-taman tema yang masing-masing mengambil masa dua hingga tiga jam untuk dikelilingi.

Tiket masuk untuk pemegang pasport asing diberikan diskaun sebanyak 20 peratus bagi menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke taman tema itu.

Terletak 100 kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda Surabaya, kawasan taman tema itu terletak kira-kira 800 meter dari aras laut dengan suhu 19 darjah Celsius.

Yokka membawa rombongan kami melawat dua taman tema iaitu Batu Secret Zoo yang menempatkan pelbagai jenis hidupan dari seluruh dunia dan Museum Angkut yang mempamerkan koleksi kenderaan antik dari 1910 hingga 2014 - kesemuanya masih berfungsi dengan baik.

Menurut Yokka, Batu Secret Zoo yang dirasmikan pada 2010 mempunyai lebih 300 spesies haiwan termasuk monyet daripada spesies terkecil di dunia dikenali sebagai pygmy marmoset - hanya seberat 100 gram.

Beliau turut mengingatkan supaya tidak menarik semula makanan yang dihulurkan kepada haiwan alpaca kerana sifat binatang itu yang pemarah dan akan meludah pemberi makanan itu.



TAMAN TEMA TARAF ANTARABANGSA

Antara haiwan lain yang terdapat di zoo itu termasuk unta, harimau putih, zirafah, alpaca, tikus raksasa, Mara Patagonia iaitu sejenis haiwan seperti arnab dan kura-kura sulcate yang berasal dari Afrika.

Zoo berkeluasan 17 hektar itu dibuka dari 10 pagi hingga 6 petang dan mempunyai taman tema air bertaraf antarabangsa yang amat sesuai bagi percutian sekeluarga.

Rombongan kami berpeluang beramah mesra dengan haiwan di situ dengan menaiki tren menuju ke Zon Savanah yang menempatkan beberapa jenis haiwan antaranya kuda kecil spesies poni, badak air, rusa dan bison.

Kami juga berpeluang mengunjungi Muzium Angkut - berkeluasan enam hektar - menempatkan kira-kira 300 jenis pengangkutan darat, udara dan air termasuk kereta klasik model Ford (1919), kereta model Fiat (1965), Chevrolet Belair (1953) selain replika kapal Majapit, kapal Jung China dan kapal Borobudur.

Kawasan muzium itu mempunyai lanskap menyerupai negara-negara tertentu iaitu zon-zon Eropah, Las Vegas, Buckingham Palace Garden dan Hollywood.

Dibuka setiap hari dari 12 tengah hari hingga 8 malam, kemudahan lain yang disediakan termasuk kedai cenderamata, pasar mini, gerai makanan, surau dan tandas.

“Kesemua koleksi kenderaan yang terdapat di muzium ini dibeli,” katanya yang bekerja dengan JTP Group sejak lima tahun lalu.



Disunting oleh Sarimah Othman

BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu