Macam ayam kena sembelih - Azizulhasni [ 4m ago ]

Digi akan buka 5G OpenLab pada 1 Okt

Tarikh kemaskini: 18/09/2019
CYBERJAYA, 18 Sept (Bernama) -- 5G OpenLab, usaha sama antara Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) dan Cyberview Sdn Bhd, akan membuka pintunya di RekaScape di sini pada 1 Okt ini untuk membolehkan ahli akademik, perniagaan dan pemaju untuk menguji kes menggunakan 5G baharu.

Makmal seluas 1,102 kaki persegi itu akan menawarkan peluang kepada peserta terpilih untuk menguji kes uji kaji dan prototaip yang akan memanfaatkan kepantasan tinggi super 5G, gelombang frekuensi dan kesalinghubungan pendaman ultra rendah dalam persekitaran secara langsung dan terkawal.

Uji kaji itu akan dilaksanakan menggunakan 100MHz daripada spektrum 3.5GHz, kata Digi dalam kenyataan di sini, hari ini.

“5G akan membawa kemungkinan baharu menyeluruh kepada cara rakyat Malaysia hidup, bekerja dan bermain, dan cara terbaik untuk meneroka kemungkinan berkenaan adalah dengan meletakkan 5G dalam tangan kalangan mereka yang mencipta inovasi dan pemaju,” menurut Ketua Pegawai Eksekutif Digi Albern Murty.

Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Collaborative Research in Engineering, Science and Technology (CREST) akan menjadi antara yang pertama untuk menjalankan uji kaji di makmal itu.

Fakulti Kejuruteraan dan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat UPM akan menjalankan ujian melibatkan dua kes yang berkaitan ruang pembelajaran realiti maya pendidikan pintar dan avatar realiti luasan untuk bandaraya pintar.

Sementara itu, CREST akan menguji kes penggunaan penjagaan kesihatan digital berkaitan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan, surgeri kawalan jauh, pemantauan kawalan jauh untuk Hospital Pintar dan ambulans yang dihubungkan dengan 5G.

5G OpenLab adalah selaras dengan tawaran Cyberjaya kepada seluruh bandaraya sebagai '’Living Lab'’, kata Pengarah Urusan Cyberview Najib Ibrahim.

“5G Open Lab turut dilengkapi '’critical cog’ dalam meningkatkan ekosistem teknikal yang kami ada di Cyberjaya. Kami percaya apa yang kami ada di sini hari ini bersama-sama dengan Digi adalah langkah penting ke arah mewujudkan platform yang PKS, syarikat pemula niaga dan pencipta inovasi boleh memacu dan menempatkan diri mereka dalam lingkungan 5G dengan berada di sini terlebih dahulu,” katanya.

5G OpenLab dibuka kepada ahli akademik, universiti, pemaju dan perniagaan berdaftar.

Pemohon mesti mempunyai kes untuk digunakan dan sedia untuk diuji di makmal itu, melibatkan bidang bandaraya pintar, penjagaan kesihatan pintar dan kandungan digital kreatif.

Permohonan dibuka mulai sekarang sehingga 17 Okt 2019 dan boleh dihantar secara dalam talian di 5Gopenlab@cyberview.com.my.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu