Fuziah: K'jaan mahu jadikan waqaf satu 'jenama dalam keluarga' [ 6h ago ]

Perdana Menteri ucap takziah atas pemergian Md Farid

Tarikh kemaskini: 21/09/2019

PONTIAN, 21 Sept -- Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengucapkan takziah kepada seluruh anggota keluarga Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik atas pemergian beliau hari ini.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut menyifatkan pemergian Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial) itu sebagai satu kehilangan kepada negara.

"Masih muda. Takziah kepada semua keluarga, terima kasih," kata Dr Mahathir dalam nada sebak ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat jenazah dan solat Asar di Masjid Datuk Noh Gadut, Serkat, di sini hari ini.

Terdahulu, Dr Mahathir tiba di masjid berkenaan pada kira-kira 3.40 petang dengan diiringi isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Hadir sama Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal, Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Setiausaha Agung Bersatu Datuk Marzuki Yahya.

Sementara itu, Dr Sahruddin yang turut ditemui pemberita di masjid sama berkata hasil bedah siasat Allahyarham Dr Md Farid menunjukkan beliau meninggal dunia akibat komplikasi jantung.

Dr Sahruddin berkata pemergian Allahyarham merupakan satu berita mengejutkan dan kehilangan besar kepada negara serta Pakatan Harapan.

"Berita (pemergian) yang sangat mengejutkan kerana arwah masih ada program (di kawasan Parlimen Tanjung Piai) sehingga malam tadi.

"Dikhabarkan sehingga 3 pagi. Dalam pukul 6 lebih, arwah ke hospital selepas mengalami sakit dada kiri," katanya dengan menambah Allahyarham merupakan seorang pakar bius di sebuah hospital swasta di Melaka sebelum menyertai politik.

Menurut Dr Sahruddin, hasil bedah siasat mendapati tiga saluran utama jantung Allahyarham tersumbat dengan ada yang tersumbat sehingga 90 peratus selain saluran utama darah di otak turut tersumbat.

Dr Md Farid, 42, yang juga Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai meninggal dunia kira-kira 6 pagi tadi di Hospital Pontian.

Beliau memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) selepas menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Wee Jeck Seng (MCA) dengan majoriti undi 524 undi.

Allahyarham berkahwin dengan Datin Farah Syazwani Hanis Ismail, 32, pada 2009 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Sophie Farissya, 8, Eva Ariaana, 4 dan Zara Aleena, 2.



-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu