Felda dalam proses nilai kerosakan akibat banjir di Kelantan [ 32m ago ]

Kedudukan jurulatih, pemain ditentu berdasar prestasi - PBNS

Tarikh kemaskini: 21/09/2019
Mohamad Taufek Abd Ghani
SEREMBAN, 21 Sept -- Kedudukan jurulatih dan pemain skuad Rusa musim ini sama ada dikekalkan atau tidak pada musim depan adalah berdasarkan kepada laporan prestasi mereka musim ini, kata Naib Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) Mohamad Taufek Abd Ghani.

Beliau berkata selain itu ia juga bergantung kepada perbincangan di peringkat kepimpinan dan Jawatankuasa Eksekutif PBNS.

"Kontrak mereka (jurulatih dan pemain) akan tamat pada November ini. Sebaik kontrak mereka tamat, kita akan nilai prestasi keseluruhan pasukan termasuk jurulatih dan pemain termasuk pemain import dan akan mengambil tindakan sewajarnya.

"Semua ini bergantung kepada laporan prestasi mereka. Pada keseluruhannya tahap pencapaian skuad Rusa musim ini belum boleh dibanggakan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata kemungkinan terdapat pemain dikekalkan dan juga ada pemain yang akan disingkirkan tetapi yang penting ialah menyediakan sebuah pasukan yang lebih baik pada musim depan.

Mohamad Taufek berkata keputusan itu bergantung pada bajet kerana sukan bola sepak memerlukan belanja yang besar dan persatuan akan mendapatkan lebih banyak peruntukan menerusi penajaan dan sebagainya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia Dan Sukan negeri berkata demikian ketika diminta mengulas kegagalan skuad Rusa ke suku akhir Piala Malaysia musim ini.

Pada Liga Perdana musim ini, Negeri Sembilan berada di kedudukan keenam daripada 11 pasukan yang bersaing.

Mengulas lanjut, beliau yakin skuad Rusa akan lebih bersiap sedia untuk menghadapi saingan Liga Perdana musim depan.

Mengenai nasib ketua jurulatih Mohd Zan Mat Aris yang direhatkan dipertengahan musim, beliau berkata tindakan itu diambil kerana PBNS tidak berpuas hati dengan pencapaian ketua jurulatih itu.

"Untuk musim depan, kita mungkin mendapatkan jurulatih baharu bagi menggantikan Mohd Zan...semua kemungkinan itu ada. Semua ini bergantung kepada laporan prestasi beliau (Mohd Zan)," katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu