Marrybrown akan tembusi Eropah menerusi cawangan di Sweden [ 15m ago ]

Jerebu: 19 kawasan masih dalam kategori tidak sihat

Tarikh kemaskini: 21/09/2019
KUALA LUMPUR, 21 Sept -- Walaupun jerebu teruk yang melanda seluruh negara sejak beberapa hari lepas mula menunjukkan keadaan yang semakin positif berdasarkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU), namun masih terdapat beberapa kawasan yang berada pada tahap tidak sihat.

Setakat pukul 7.00 petang ini, Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) mencatatkan 19 kawasan dengan bacaan IPU tidak sihat, di mana Batu Muda di Kuala Lumpur mencatatkan bacaan paling tinggi iaitu 161.

Satu lagi kawasan di Kuala Lumpur iaitu Cheras mencatatkan bacaan 150 manakala empat kawasan di Sarawak masih berada pada tahap tidak sihat ialah Sri Aman (104); Kuching (156); Samarahan (136); dan Sarikei (109).

Sebanyak enam kawasan di Selangor merekodkan bacaan IPU lebih daripada 101 iaitu Johan Setia, Klang (157), Petaling Jaya (144), Shah Alam (131), Banting (114), Klang (118) dan Kuala Selangor (106) serta dua kawasan di Negeri Sembilan iaitu di Nilai (139) dan Seremban (128).

Putrajaya dan Segamat serta Tangkak di Johor, masing-masing mencatatkan bacaan IPU 137, 130 dan 102.

Selain itu, turut mencatat bacaan IPU tidak sihat ialah Temerloh dan Jerantut di Pahang iaitu masing-masing mencatatkan bacaan IPU 102 dan 112.

Sementara itu, 60 peratus daripada 81 hektar ladang dan hutan di kawasan Sri Aman, Sarawak yang terbakar telah dipadam setakat semalam.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata berkata pihak bomba, Angkatan Pertahanan Awam, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dengan kerjasama pelbagai agensi sedang bekerja keras memadamkan baki 32 hektar lagi kawasan yang terbakar dalam operasi pemadaman selama 24 jam yang bermula sejak 19 Sep lepas.

Operasi pembenihan awan di Sri Aman, Sarawak semalam pula berjaya menurunkan bacaan IPU di kawasan itu daripada tahap bahaya lebih 400 semalam kepada tahap tidak sihat 125 pada pukul 10 pagi tadi.

Menurut Jabatan Alam Sekitar (JAS), kebakaran hutan belukar di Kampung STC Sri Aman, Jalan Tisak Betong dan Jalan Ketajau yang menyebabkan jerebu teruk di kawasan itu juga sedang dalam tindakan pemadaman oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Untuk berita terkini berkaitan jerebu boleh layari www.bernama.com.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu