Restoran makanan laut Malaysia bakal dibuka di Mauritius [ 5m ago ]

Kim raih gelaran sulung ADT pada Kejohanan PGM MNRB

Tarikh kemaskini: 21/09/2019
Kim Leun Kwang
KUALA LUMPUR, 21 Sept -- Bintang muda tempatan, Kim Leun Kwang meraih gelaran sulung Asian Development Tour (ADT) apabila mengungguli Kejohanan PGM MNRB ADT di Kelab Golf Sarawak di Kuching, hari ini.

Pemain berusia 24 tahun itu melakar 68 pada pusingan akhir hari ini untuk mencatatkan 137 bawah par tujuh dalam aksi selama dua hari untuk membolot hadiah RM39,375, menurut laman sesawang ADT;www.asiantour/adt.

Rakan sepasukannya, Daeng Abdul Rahman Abdul Aziz dan pemain dari Amerika Syarikat Samuel Cyr terikat di tangga kedua dengan mengumpul sejumlah 138 sementara pemain Thailand, Chonlatit Chuenboonngam berada di tempat keempat dengan ketinggalan dua pukulan di belakang Kim.

Dalam aksi hari ini, Kim membuat penampilan dengan memperoleh satu eagle pada lubang kelima par lima dan lima birdie tetapi keciciran tiga bogey. Perlawanan dikurangkan kepada 36 lubang selepas dua pusingan sebelumnya ditunda kerana jerebu yang melanda Kuching.

Ketika ditemui pemberita, Kim berkata beliau terharu selepas merangkul gelaran sulung ADT di tengah-tengah keadaan jerebu.

"Saya membuat pukulan dengan baik, sentiasa tenang dan bermain mengikut rentak sendiri. Saya membenam bogey pada lubang ke-16 dan ke-17 dan merakam birdie pada lubang terakhir. Keadaan masih berjerebut tetapi saya tidak memakai penutup mulut dan hidung kerana ia akan menjejaskan aksi saya, " tambah Kim yang juga muncul sebagai rakyat Malaysia pertama yang menang menjuarai sirkit ADT musim ini berikutan kemenangannya.

Kejohanan PGM MNRB ADT mendapat kelulusan bersama oleh Jelajah PGM Tour dan merupakan peringkat ke-14 dalam kalender ADT musim ini.



Keputusan pusingan akhir:

(Nota: Pemain Malaysia kecuali dinyatakan)

137 - Kim Leun Kwang 69-68;

138 - Daeng Abdul Rahman Abdul Aziz 65-73, Samuel Cyr (USA) 70-68;

139 - Chonlatit Chuenboonngam (THA) 70-69;

140 - M. Sasidaran 71-69;

141 - Gregory Foo (SGP) 72-69, Low Khai Jei 70-71, Hyukchul Shin (KOR) 70-71, Adam Blyth (AUS) 71-70;

142 - Tawit Polthai (THA) 70 72, Amir Nazrin Jailani 73- 69, Namchok Tantipokhakul (THA) 70-72, Seung Park (KOR) 69-73, Choo Tze Huang (SGP) 71-71, Kasidit Lepkurte (THA)70- 72, Amarin Kraivixien (THA) 70-72, Koh Deng Shan (SGP) 70-72;

143 - Shahriffuddin Ariffin 72-71;

145 - Pannakorn Uthaipas (SGP) 75-70, Sam Lee (FIJ) 73-72, Panuwat Muenlek (THA) 70 75, Sam Gillis (USA) 76-69, Erwan Vieilledent (FRA) 73-72, Witchayanon Chothirunrungrueng (THA) 73-72, Nabil Abdul (AUS) 71-74.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu