Negeri Sembilan pertimbang cadangan bina parkir bertingkat di KTM Sungai Gadut [ 4m ago ]

TFC gagal manfaat laman sendiri pada aksi suku akhir menentang JDT

Tarikh kemaskini: 21/09/2019
KUALA TERENGGANU, 21 Sept (Bernama) -- Naib juara Piala Malaysia musim lalu, Terengganu FC (TFC) gagal memanfaatkan permainan di tempat sendiri apabila tewas 1-0 kepada Johor Darul Takzim (JDT) pada aksi suku akhir pertama saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini sebentar tadi.

Babak pertama menyaksikan juara Liga Super enam kali berturut-turut, Johor Darul Takzim (JDT) mendominasi permainan dengan melakukan tiga percubaan tepat ke atas skuad Penyu.

Penyerang JDT kelahiran Terengganu, Safawi Rasid melakukan percubaan pertama seawal minit kelapan melalui hantaran lintang dari penjuru kanan pintu gol namun dapat dibaca penjaga gol, Wan Muhammad Azrei Wan Teh.

Pada minit ke-16, penyerang import JDT dari Brazil, Diogo Santo pula melakukan percubaan kedua namun rembatan dari luar kotak penalti yang agak tinggi jauh melepasi palang gol.

Asakan bertalu-talu oleh pasukan pelawat akhirnya berjaya menumpaskan benteng pertahanan tuan rumah yang diketuai oleh pemain kelahiran England, Lee Tuck pada minit ke-22.

Diogo muncul wira apabila menjaringkan gol pertama skuad Harimau Selatan dengan merembat kencang bola dari luar kotak penalti lalu melepasi kawalan penjaga gol.

Tertekan dengan asakan terus menerus oleh JDT, skuad Penyu yang dikendalikan oleh jurulatih sementara kelahiran Kelantan Nafuzi Zain cuba bangkit dan melakukan percubaan pertama pada minit ke-34 menerusi Kipre Tcehtche namun tendangan leretnya tersasar ke sebelah kiri tiang gol.

Aksi babak kedua semakin hangat apabila kedua-dua pasukan saling berbalas serangan untuk mencari bekalan gol.

JDT hampir memperoleh gol kedua pada minit ke-53 apabila Safawi bijak memperdaya penjaga gol namun berjaya diselamatkan oleh pemain pertahanan, Nasrullah Haniff Johan yang pantas mengeluarkan bola dari kawasan kotak penalti.

Pada minit ke-64 Terengganu hampir beroleh peluang keemasan untuk mendapatkan gol penyamaan menerusi pemain import kelahiran Uzbekistan, Sanjar Shaakmedov namun rembatannya sedikit tinggi melepasi palang gol.

Selepas tempoh tersebut tiada lagi percubaan berbahaya dihasilkan kedua-dua pasukan dan keputusan kekal dengan JDT mendahului TFC 1-0.

TFC akan bertandang ke Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin Johor untuk perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia 28 Sept ini.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu