Restoran makanan laut Malaysia bakal dibuka di Mauritius [ 3m ago ]

Lapan kawasan di Pulau Pinang, Perak, Pahang dan Terengganu mula catat IPU tidak sihat

Tarikh kemaskini: 22/09/2019
KUALA LUMPUR, 21 Sept -- Lapan kawasan di Pulau Pinang, Perak, Pahang dan Terengganu mula mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat lewat malam ini, menjadikan keseluruhan 26 kawasan mencatatkan IPU melebihi 100.

Sehingga 11 malam ini, berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) kawasan baharu tersebut ialah Minden dan Balik Pulau di Pulau Pinang yang mencatatkan bacaan IPU masing-masing 105 dan 115, manakala Tasek Ipoh, Pegoh Ipoh dan Tanjung Malim di Perak, masing-masing mencatatkan bacaan 111, 104 dan 113.

Kawasan baharu lain mencatatkan bacaan IPU tidak sihat ialah Indera Mahkota dan Balok Baru Kuantan di Pahang masing-masing mencatatkan bacaan 106 dan 107, sementara Kemaman di Terengganu mencatatkan bacaan IPU 103.

Selain itu, 18 kawasan lagi kekal dengan bacaan IPU tidak sihat sejak petang tadi, dengan Johan Setia, Klang di Selangor mencatatkan bacaan paling tinggi iaitu 168, diikuti Batu Muda di Kuala Lumpur dengan bacaan 162.

Empat kawasan di Sarawak masih berada pada tahap tidak sihat iaitu Sri Aman (135); Kuching (150); Samarahan (133) dan Sarikei (104).

Turut mencatatkan bacaan IPU lebih daripada 100 adalah Cheras (155) di Kuala Lumpur, Petaling Jaya (148), Shah Alam (138), Banting (115), Klang (122) dan Kuala Selangor (120) di Selangor serta dua kawasan di Negeri Sembilan iaitu Nilai (138) dan Seremban (126).

Putrajaya dan Segamat di Johor, masing-masing mencatatkan bacaan IPU 139 dan 128 manakala Temerloh dan Jerantut di Pahang masing-masing mencatatkan bacaan IPU 103 dan 107.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Untuk berita terkini berkaitan jerebu boleh layari www.bernama.com

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu