Hilang IC: wanita buat laporan palsu elak didenda - polis [ 1h ago ]

Penggabungan UMT, UniSZA mungkin cetus era baru pendidikan tinggi

Tarikh kemaskini: 27/09/2019
Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan
KUALA NERUS, 27 Sept -- Penggabungan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), sekiranya berjaya direalisasikan mungkin mencetus era baharu dalam landskap pendidikan tinggi di negara ini.

Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata pihaknya sentiasa optimis dalam menerima cadangan kerajaan, malah bersedia melakukan pembaharuan, jika persetujuan dicapai kelak.

“Kita tidak tahu pada masa depan kalau penggabungan UMT dan UniSZA akan lonjakkan universiti. Penggabungan kadangkala akan menjadikan sesebuah universiti lengkap," katanya kepada Bernama.

Jemaah Menteri yang bermesyuarat pada 4 Sept lepas bersetuju secara prinsip dengan penggabungan UMT dan UniSZA sebagai satu transformasi penyampaian pendidikan tinggi.

Dalam temu bual eksklusif baru-baru ini, Hassan Basri berkata proses penggabungan universiti bukanlah suatu perkara baharu, kerana ia turut berlaku di universiti-universiti terkemuka dunia termasuk Paris-Sorbonne University dan Pierre Marie Curie University (UPMC) di Perancis yang mempunyai pengkhususan dalam bidang berlainan iaitu sains sosial dan perubatan.

"Dua universiti ini adalah universiti tersohor di dunia dan telah melahirkan ramai pemikir hebat serta pakar dalam bidang masing-masing," ????katanya yang turut menyatakan melalui inisiatif penggabungan, kedua-dua universiti di Perancis itu mampu bergerak dengan lebih baik dan mempunyai dana mencukupi.

Beliau yang mengambil alih kepimpinan UniSZA pada Februari lalu berkata dalam merealisasikan cadangan penggabungan itu, semua pihak perlu mengetepikan ego, berpandangan jauh dan melaksanakan apa yang dihasratkan kerajaan.

Dalam pada itu, Hassan Basri berkata UniSZA juga sedang merangka beberapa strategi ke arah penjanaan pendapatan sendiri, bagi menyahut seruan kerajaan yang mahu setiap universiti memiliki sumber pendapatan dalam merancakkan lagi pembangunan universiti.

Selain beberapa cabang perniagaan di bawah UniSZA Holding, pihaknya akan memanfaatkan pembinaan hospital pengajar UniSZA, sebagai antara sumber pendapatan apabila ia dijangka siap pada Jun tahun hadapan.

"Sebagai sebuah hospital awam yang didirikan dengan wang kerajaan...maka menjadi tanggungjawab sosial UniSZA untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada orang awam,” katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu