Hilang IC: wanita buat laporan palsu elak didenda - polis [ 2h ago ]

MOTAC kenal pasti empat pertumbuhan pelaburan pelancongan satelit

Tarikh kemaskini: 28/09/2019
Muhammad Bakhtiar Wan Chik (tengah)
KUALA LUMPUR, 27 Sept -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah mengenal pasti empat pertumbuhan pelaburan pelancongan satelit untuk tempoh sepuluh tahun akan datang untuk mempromosikan ekosistem budaya negara.

Timbalan menterinya Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata keempat-empat destinasi itu adalah Putrajaya sebagai ibu negara pelancongan satelit untuk Malaysia, Port Dickson sebagai destinasi pantai antarabangsa, Tuaran Kota Belud (gold coast Kinabalu) dan Langkawi (pelancongan pulau utama).

Keempat-empat pertumbuhan pelaburan pelancongan satelit sebenarnya adalah sebahagian daripada perancangan Dasar Pelancongan Negara untuk 10 tahun akan datang (2020-2030)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Pelancongan Sedunia 2019 di sini hari ini.

Hari Pelancongan Sedunia, hasil cetusan idea Pertubuhan Pelancongan Dunia disambut di seluruh dunia setiap tahun pada 27 Sept untuk memupuk kesedaran di kalangan masyarakat antarabangsa tentang pentingnya pelancongan dan nilai sosial, budaya, politik dan ekonomi serta sumbangan sektor ini dalam mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs).

Sementara itu, beliau menafikan dakwaan yang dibuat oleh Malaysia Inbound Chinese Association (MICA) bahawa kira-kira 2,000 hingga 3,000 pelancong dari China, Hong Kong, dan Macau telah membatalkan lawatan ke Malaysia pada September dan Oktober kerana keadaan jerebu dalam negara.

"Ini tidak benar .. Saya telah semak dengan Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) bahawa tidak ada pembatalan kerana jerebu kerana jerebu di sini hanya untuk sementara waktu," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Muhammad Bakhtiar berkata walaupun industri pelancongan dan pengembaraan menjana 10 peratus daripada pekerjaan dunia, dasar baharu diperlukan untuk memaksimumkan potensi pelancongan untuk mewujudkan lebih banyak pekerjaan yang lebih baik, terutama bagi wanita dan remaja, juga dasar baru yang diperlukan untuk mencerminkan dan menggabungkan kemajuan teknologi yang berterusan.

"Malaysia sedang berusaha untuk memanfaatkan penggunaan trend teknologi digital ... ini bermakna pendapatan pelancongan yang lebih tinggi, lebih banyak peluang pekerjaan, perniagaan baharu dan infrastruktur yang lebih baik yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi keseluruhan.

"Oleh itu, kita perlu mempromosikan antara lain keusahawanan, kesaksamaan jantina dan pekerjaan belia, dan memperkukuh hubungan antara pelancongan dan teknologi," katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu