Hilang IC: wanita buat laporan palsu elak didenda - polis [ 2h ago ]

Generasi muda perlu kuasai Bahasa Inggeris - Hannah Yeoh

Tarikh kemaskini: 28/09/2019
KUALA LUMPUR, 27 Sept -- Rakyat Malaysia terutama generasi muda harus membuang mentaliti bahawa mempelajari bahasa Inggeris adalah pengkhianatan kepada bangsa dan bahasa kebangsaan, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Beliau menasihati anak-anak muda Malaysia untuk sentiasa mengingatkan diri mereka bahawa mereka tidak boleh berasa kurang senang tentang menguasai bahasa Inggeris sambil berkata bahawa mereka hanya boleh menguasai bahasa jika mereka mengamalkannya.

"Perkara yang paling memperkasakan yang dapat kita berikan kepada anak-anak gadis kita adalah mempelajari bahawa universal seperti bahasa Inggeris.

"Saya dituduh mengkhianati bangsa saya apabila saya bertutur dalam Bahasa Malaysia atau ketika saya memakai baju kurung. Kami meletakkan label pada ramai rakyat Malaysia. Kita perlu memberi tumpuan untuk belajar dan memperkasakan bahasa itu dan anda akan selesa kerana pembelajaran adalah proses sepanjang hayat,” katanya selepas merasmikan Kem Pemerkasaan Wanita Kebangsaan oleh Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di sini hari ini.

Program di bawah program Pembantu Guru Bahasa Inggeris Fulbright (ETA), adalah kolaborasi bersama antara kerajaan Malaysia dan kerajaan Amerika Syarikat sejak 2012, bertujuan untuk meningkatkan penggunaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar Malaysia dan memperkasakan masyarakat luar bandar.

Seramai 100 pelajar perempuan dari tujuh negeri (Perak, Melaka, Pahang Terengganu, Kelantan, Sabah, Sarawak) di Malaysia menyertai kem empat hari yang bermula semalam.

"Event ni menyeronokkan dan dia dapat beri kita lebih banyak pengetahuan mengenai English and I really love it because cikgu-cikgu ETA banyak bagi dorongan. Jadi dengan adanya ETA, mereka boleh berikan pelajar semangat," kata Nur Adawiatul Najwa Mazuannizam, 16, pelajar dari Sekolah Menengah Pekan, Pahang.

Sementara itu, Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia Kamala Shirin Lakhdhir, yang juga hadir, menyatakan tentang pentingnya pelajar Malaysia menguasai bahasa Inggeris yang boleh memberi manfaat kepada mereka pada masa akan datang.

"Melalui program ini, ia dapat membuka peluang kepada anak-anak muda dan pelajar muda tentang mengapa bahasa Inggeris berguna dan bagaimana ia akan membolehkan mereka melakukan lebih banyak perkara dalam kehidupan mereka.

"Ini adalah program rakyat dengan rakyat Amerika Syarikat dan Malaysia dan memberi impak kepada 292,000 pelajar yang terlibat dalam program sejak penubuhannya pada 2012," katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu