CAAM sahkan disenaraikan sebagai pengawal selia penerbangan kategori 2 [ 3h ago ]

MTDC harap lebih banyak peruntukan untuk pendigitalan PKS dalam belanjawan 2020

Tarikh kemaskini: 02/10/2019
Oleh Niam Seet Wei

KUALA LUMPUR, 2 Okt -- Malaysian Technology Development Corporation Sdn Bhd (MTDC) menggesa lebih banyak peruntukan diberikan dalam Belanjawan 2020 untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melaksanakan pendigitalan dalam operasi mereka.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Rahman Mamat berkata lebih banyak dana diperlukan untuk menyokong PKS memodenkan operasi mereka untuk memasuki dunia digital.

“Tetapi pada masa yang sama, kerajaan perlu memastikan dana itu hanya disalurkan kepada pihak yang benar-benar bersedia untuk menjalani proses transformasi itu,” katanya kepada Bernama dan Astro Awani di luar acara Pameran dan Persidangan Teknologi MTDC (MTCE 2019) selama dua hari di sini, hari ini.

Belanjawan 2020 akan dibentangkan di Parlimen pada 11 Okt.

Bertema “Ekosistem Kejuruteraan dan Industri 4.0 (I4.0), MTCE 2019 yang bermula pada Isnin, menghimpunkan pemimpin industri, usahawan PKS, pemilik syarikat pemula niaga, ahli akademik, penyelidik dan penuntut untuk berkongsi idea dan mendapatkan inspirasi daripada perkembangan I4.0 .

Abdul Rahman, yang juga bekas ketua setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, turut menggesa kerajaan untuk “MeMalaysiakan” kerja yang dipegang warga asing, dan mencontohi China dan Korea Selatan dalam memperkukuh pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) dalam kalangan penggiat industri tempatan.

“China dan Korea Selatan telah mentransformasi ratusan juta tenaga kerja mereka menerusi pendidikan atau latihan vokasional.

“Kita patut mencontohi mereka, dan kita patut bermula dengan melatih lepasan sekolah kita, pekerja diberhentikan kerja atau siswazah,” katanya dan menurutnya sebaik sahaja pekerja tempatan telah dilatih, ditambah dengan penggunaan teknologi tinggi dan dana, lebih mudah untuk PKS mentransformasi perniagaan mereka dan mengurangan kebergantungan kepada pekerja asing.

Mengenai kesediaan PKS tempatan untuk mengamalkan I4.0, Abdul Rahman berkata beliau melihat mereka sudah bersedia dan tidak sabar untuk mendigitalkan operasi mereka.

“Mereka mempunyai sikap yang betul dan mereka sedar sekiranya mereka tidak mengamalkan I4.0 atau mendigitalkan operasi mereka, mereka akan ketinggalan dan mungkin terpaksa gulung tikar.

“Tetapi masalahnya, mereka tidak tahu bagaimana untuk bermula, kerana PKS biasanya membabitkan perniagaan kecil dengan jumlah pekerja dan kos operasi yang terhad,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan PKS untuk menghubungi MTDC untuk memastikan mereka lebih faham tentang bagaimana mereka boleh mentransformasi perniagaan mereka dengan memanfaatkan gelombang pendigitalan.

MTDC, anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Bhd, menggalakkan penggunaan teknologi dalam kalangan syarikat tempatan menerusi pengkomersialan penyelidikan dan pembangunan atau memanfaatkan teknologi asing.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu