Hilang IC: wanita buat laporan palsu elak didenda - polis [ 2h ago ]

Pembiayaan P2P berjaya kumpul RM377 juta setakat Jun 2019

Tarikh kemaskini: 03/10/2019
KUALA LUMPUR, 3 Okt -- Industri pembiayaan rakan setara (P2P) di Malaysia berjaya mengumpulkan hampir RM377 juta setakat Jun tahun ini yang dimanfaatkan oleh lebih 1,100 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), demikian menurut Pertubuhan Pendanaan Malaysia.

Dalam satu kenyataan hari ini, pertubuhan itu berkata walaupun pembiayaan P2P hanya diperkenalkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pada 2016, platform pembiayaan alternatif tersebut terus meraih aliran peningkatan berikutan kelebihannya seperti proses permohonan lebih lancar, tempoh pemprosesan lebih pantas serta keperluan dokumentasi tanpa kolateral.

"Platform P2P kini menjadi saluran ideal untuk PKS yang memerlukan pembiayaan jangka pendek bagi mengekalkan aliran tunai mencukupi serta merancakkan pertumbuhan perniagaan mereka," katanya.

Selain itu, Pertubuhan Pendanaan berkata platform P2P itu turut bekerjasama dengan pihak korporat dan institusi kewangan bagi mengenal pasti kaedah yang dapat memberi manfaat bersama bagi memenuhi keinginan PKS dan pelabur.

"Produk-produk pembiayaan P2P ini disediakan mengikut keperluan PKS seperti berdasarkan struktur tempoh pembiayaan dan pembayaran semula yang khusus," katanya.

Pertubuhan Pendanaan yang merupakan platform pembiayaan P2P pertama dan terbesar di Malaysia, juga telah mencatat pencapaian bermakna setakat ini apabila muncul sebagai platform pembiayaan P2P pertama mengutip sejumlah RM128 juta dalam pendanaan Siri A dan Siri B.

"Ini diterajui oleh syarikat modal teroka utama seperti Sequoia India dan SoftBank Ventures Asia yang kesemuanya bermatlamat untuk menyediakan khidmat serta merangsang pertumbuhan PKS," katanya.

Majoriti PKS yang disokong oleh Pertubuhan Pendanaan meliputi sektor utama seperti borong, dagangan runcit dan pembuatan yang sekali gus memaparkan tarikan pembiayaan P2P sebagai sumber kewangan utama untuk PKS, kata pertubuhan itu.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu