Hilang IC: wanita buat laporan palsu elak didenda - polis [ 58m ago ]

MCIS Life sasar capai kadar pertumbuhan 40-60 peratus pada akhir tahun

Tarikh kemaskini: 03/10/2019
PETALING JAYA, 3 Okt — MCIS Insurance Bhd yang melalui langkah penjenamaan korporat untuk menjenamakannya semula sebagai MCIS Life, menyasarkan untuk mencapai kadar pertumbuhan perniagaan sebanyak 40-60 peratus untuk produk insurans hayat pada akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah Urusan Prasheem Seebran berkata sasaran itu ditetapkan selepas syarikat mencapai prestasi terbaik dari segi kadar pertumbuhan perniagaan sebanyak 60 peratus pada separuh pertama 2019.

"Kami berada pada kedudukan nombor satu pada separuh pertama 2019 dari segi pertumbuhan perniagaan baharu untuk produk insurans hayat. Diharap, jika semuanya berjalan lancar, kami berharap untuk mencapai tidak setinggi 60 peratus, dan tidak serendah 40 peratus pada akhir tahun ini.

“Industri berkembang sebanyak 20 peratus dan kami mencapai 60 peratus (pada separuh pertama 2019), jauh melebihi industri dan kami berasa bangga dengan prestasi itu.

"Kami menaruh harapan yang besar dan mempunyai sasaran yang tinggi. Kami mahu memasuki pasaran yang belum ditembusi di Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran penjenamaan semula itu di sini hari ini.

Seebran berkata terdapat komuniti di Malaysia yang kurang mendapat perkhidmatan, terutamanya kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan syarikat perkhidmatan kewangan.

“Kumpulan B40 memerlukan perlindungan kewangan dan ia terpulang kepada syarikat insurans, perbankan dan perkhidmatan kewangan untuk menembusi pasaran ini,” katanya.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin melancarkan inisiatif penjenamaan semula itu, dengan MCIS Life turut memberikan komitmennya mengenai tanggungjawab sosial korporat.

MCIS Insurance merupakan syarikat insurans hayat perintis di Malaysia, dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia dan dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Ia juga ahli Sanlam Group, antara kumpulan insurans aktif di peringkat antarabangsa yang terbesar di dunia.

Sanlam Group, yang beribu pejabat di Afrika Selatan, beroperasi di 43 negara di Afrika, Eropah dan Asia Tenggara serta disenaraikan di Bursa Saham Johannesburg.

—BERNAMA








       Berita Utama Terdahulu