Keadaan kesihatan ratu irama Bollywood, Lata Mangeshkar stabil [ 8m ago ]

[EKSKLUSIF] Dunia, ASEAN perlu lebih tegas bantu tangani krisis Rohingya - Aktivis

Tarikh kemaskini: 03/10/2019
Tun Khin
Laporan eksklusif oleh: Nabilah Saleh

KUALA LUMPUR, 3 Okt -- Masyarakat antarabangsa harus berusaha lebih keras, berani dan bersatu memberi tekanan terhadap kerajaan Myanmar supaya negara itu bertindak menangani krisis Rohingya.

Presiden Organisasi Rohingya Burmese UK, Tun Khin, berkata lebih banyak perlu dilakukan walaupun isu telah dibangkitkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semasa sesi ke-74 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York baru-baru ini.

Khin berkata memberikan hak kerakyatan sepenuhnya kepada Rohingya adalah kunci utama kepada penyelesaian sebenar.

"Sehingga hari ini, kami berterima kasih kepada masyarakat antarabangsa terutamanya kerajaan Bangladesh kerana membantu menangani keperluan pelarian termasuk pelarian domestik di Rakhine," katanya kepada Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama baru-baru ini.

Menurutnya, tanpa memberi tekanan lebih kuat, tindakan lebih praktikal kepada pihak terbabit, banyak masalah lain mungkin tercetus menyebabkan ramai lagi Rohingya lari ke negara jiran (di rantau Asia Tenggara).

"Oleh itu, penting lebih banyak negara terutama dari blok serantau (seperti) ASEAN untuk bertindak mewujudkan lebih banyak tekanan," katanya.

Tambah beliau memberikan kerakyatan sepenuhnya kepada Rohingya adalah lebih baik, berbanding sekadar menghantar mereka pulang ke negara asal.

"Bercakap mengenai penghantaran pulang dan melihat keadaan semasa di negeri Rakhine, bagaimana kami boleh kembali ke Myanmar tanpa jaminan keselamatan, perlindungan dan hak kewarganegaraan? Walaupun program penghantaran pulang dilakukan, sudah tentu mereka enggan menyertainya," kata Khin.

Ujarnya, terdapat kira-kira setengah juta Rohingya yang berada di Myanmar tidak memiliki kerakyatan dan kebebasan bergerak manakala lebih 100,000 masih ditahan di kem-kem IDP.

Ditanya bagaimana dunia boleh bertindak dengan lebih berkesan membantu mengurangkan krisis Rohingya, Khin berpendapat perlu dikenakan sekatan terhadap syarikat-syarikat berkaitan dengan tentera yang menyumbang kepada konflik itu, selain merujuk kes ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Mengenai isu Rohingya yang disentuh beliau dalam ucapannya di UNGA, Dr Mahathir kesal kerana nampaknya PBB tidak mampu membantu menyelesaikan masalah di banyak negara kerana menganggap apa yang berlaku adalah masalah dalaman negara terbabit.

“Kita boleh berkhutbah, berdoa, meminta mereka jangan lakukan sedemikian, tetapi mereka terus melakukannya kerana kita tidak menyerang negara terbabit untuk menghapuskan rejim sedemikian,” katanya.

-- BERNAMA
























       Berita Utama Terdahulu