Penerbangan pertama Ipoh-Guangzhou pada 27 Nov ini [ 11m ago ]

Pembangunan bercampur bernilai RM1 bilion bakal dilaksana di Melaka

Tarikh kemaskini: 03/10/2019
MELAKA, 3 Okt -- Projek pembangunan bercampur yang dianggarkan bernilai RM1 bilion melibatkan pembinaan resort banglo, vila air, hotel kaca, apartmen, taman tema air dan tempat perayaan bagi festival bakal dibina di kawasan tambakan laut di Kota Laksamana di sini.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata projek yang akan dimajukan syarikat, Bintara Niaga Development Sdn Bhd di kawasan konsesi seluas 40.47 hektar itu termasuk 160 resort banglo dua tingkat, 405 vila air dua tingkat, 745 apartmen bertingkat rendah, sebuah hotel kaca 16 tingkat dan taman tema air seluas 2.83 hektar.

Beliau berkata projek pembangunan yang dilengkapi pelbagai infrastruktur termasuk kolam renang, restoran, spa, gimnasium, dewan konvensyen, marina bagi teksi air serta kolam perlindungan penyu dan ikan itu akan dibangunkan dalam tempoh 15 tahun bermula selewat-lewatnya enam bulan akan datang.

"Projek ini dijangka akan menjadi mercu tanda dan produk pelancongan terbaharu negeri Melaka serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan pada masa akan datang.

"Melalui perjanjian projek ini, kerajaan negeri akan menerima bayaran pampasan atau balasan lebih RM8 juta," katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama antara Kerajaan Negeri Melaka dan Bintara Niaga Development di sini, hari ini.

Perjanjian tersebut ditandatangani Adly bagi pihak kerajaan negeri manakala bagi pihak Bintara Niaga Development pula ia ditandatangani oleh Pengarah dan Pemegang Saham Utamanya, Datuk Tai Chee Ming.

Mengulas lanjut, Adly berkata bayaran pampasan itu antaranya bertujuan untuk Tabung Ekonomi Nelayan berjumlah RM500,000 dan masing-masing RM2.17 juta untuk royalti pasir dan pembangunan negeri Melaka.

Beliau berkata menerusi pembangunan itu juga, kerajaan negeri Melaka akan mendapat satu per lima bahagian daripada kawasan yang ditambak dalam konsesi yang diluluskan apabila projek berkenaan siap sepenuhnya.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu