Program CeIO terima sambutan menggalakkan sektor swasta - Latheefa [ 10m ago ]

Kerajaan bercadang bina loji rawatan kumbahan berpusat di Kelantan, Pahang, Johor

Tarikh kemaskini: 03/10/2019
KAJANG, 3 Okt -- Kerajaan bercadang untuk membina beberapa loji rawatan kumbahan berpusat di negeri-negeri seperti Kelantan, Pahang dan Johor di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A. Xavier Jayakumar berkata loji kumbahan tersebut dijangka melibatkan peruntukan kira-kira RM2 bilion.

“(Bagaimanapun) ia tidak sebesar seperti Loji Rawatan Kumbahan Berpusat (CSTP) Langat kerana penduduk di sana (negeri-negeri) tidak ramai seperti di kawasan bandar besar (di Lembah Klang),” katanya kepada pemberita selepas melancarkan majlis aliran kumbahan pertama CSTP Langat di sini, hari ini.

CSTP Langat hari ini menerima aliran kumbahan fasa pertama yang melibatkan proses aliran kumbahan daripada 60,000 penduduk setara (PE) dari kawasan Cheras dan Kajang.

Ia dibina di kawasan tanah seluas 7.3 hektar dan mampu menampung aliran masuk kumbahan sebanyak 207,000 meter padu (m3) sehari atau aliran kumbahan daripada 920,000 (PE) bagi tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang.

Projek CSTP Langat dijadual siap sepenuhnya menjelang Feb 2023.

Terdahulu, dalam ucapannya Xavier berkata CSTP Langat akan menggantikan 232 loji rawatan kumbahan kecil sedia ada di kawasan Cheras dan Kajang yang sudah uzur dan kurang efisien.

“Penggunaan teknologi hijau di loji ini seperti penjanaan tenaga solar dan biogas, penggunaan semula air terawat dan penadahan air hujan dijangka dapat membantu mengurangkan kos operasi dalam masa jangka panjang,” katanya.

Pada sidang media itu, mengulas kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini bahawa kerajaan akan mengkaji keperluan memperkenalkan semula sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Xavier berkata satu kajian teliti diperlukan untuk mengetahui kemahuan rakyat mengenai perkara itu.

“Perlu ada kajian, tanpa kajian kerajaan tidak boleh buat keputusan… jika rakyat tidak mahu, kita tidak laksana, tetapi jika dapat pandangan positif, (mungkin) ia boleh menambah pendapatan negara dan kerajaan ada duit lebih untuk belanja,” tambahnya.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu