EKONOMI

MATRADE GIATKAN USAHA GALAKAN EKSPORT DI TENGAH-TENGAH PERANG PERDAGANGAN

09/10/2019 04:36 PM

KUALA LUMPUR, 9 Okt -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mempergiat usaha penggalakan ekport di tengah-tengah perang perdagangan berlarutan antara dua kuasa utama ekonomi dunia, Amerika Syarikat (AS) dan China.

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Wan Latiff Wan Musa berkata pihaknya telah mempelbagaikan pasaran eksport dengan zon baharu seperti Asia Tengah, Asia Selatan, Asia Barat dan Afrika manakala ASEAN terus menjadi tumpuan utama memandangkan wilayah ini menyumbang kira-kira 24 peratus kepada jumlah perdagangan Malaysia.

“Apa yang berlaku ketika ini tidak menjejaskan MATRADE daripada menjalankan program penggalakan eksport, membawa syarikat Malaysia khususnya perusahaan kecil dan sederhana ke pasaran baharu. Kita akan terus melaksanakannya.

“Sebenarnya dalam situasi seperti ini, kita juga perlu meningkatkan lagi program promosi eksport Malaysia, mempelbagaikannya dengan produk lain. Kita mencatatkan eksport yang amat kukuh bagi produk perabot, halal dan sarung tangan perubatan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Nilai Tindakan Mapan Untuk Pengeksport (SAVE) di sini, hari ini.

SAVE dilancarkan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pelaburan) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Hairil Yahri Yaacob.

Wan Latiff berkata China, AS dan Jepun juga kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia.

“Malaysia tidak terkecuali daripada menerima kesan krisis perdagangan AS-China. Sebenarnya apabila berlaku perang perdagangan, kemelut itu bukan hanya melibatkan dua negara terbabit malah menjejaskan ekonomi global. 

“Seperti yang kita ketahui, semakan semula menurun telah dibuat bagi pertumbuhan ekonomi dan perdagangan dunia tahun ini, dengan perdagangan global daripada 2.6 peratus pada April kepada 1.2 peratus baru-baru ini.

“Ini menunjukkan permintaan global mengalami penurunan, sekali gus perdagangan kita juga mengalami kelembapan,” katanya.

Baru-baru ini, Jabatan Perangkaan melaporkan nilai perdagangan Malaysia berjumlah RM151.8 bilion pada Ogos 2019, susut RM10.7 bilion atau 6.6 peratus berbanding angka yang dicatatkan pada Ogos 2018.

Ketika ditanya sama ada aliran rendah perdagangan akan berterusan sehingga akhir 2019, Wan Latiff berkata perdagangan dijangka bergantung kepada impak perang perdagangan AS-China.

Beliau berkata eksport Malaysia akan kekal pada RM1 trilion tahun ini.

“Tahun ini, kita menjangkakan eksport akan kekal pada RM1 trilion. Kita masih ada baki empat bulan lagi, jadi kita amat berharap situasi ini (perang perdagangan) tidak akan menjadi lebih buruk,” katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan