Hilang IC: wanita buat laporan palsu elak didenda - polis [ 1h ago ]

IGEM2019 bakal saksikan 16 MoU ditandatangani

Tarikh kemaskini: 09/10/2019
KUALA LUMPUR, 9 Okt -- Persidangan dan Pameran Antarabangsa Produk Teknologi Hijau & Eko Malaysia (IGEM) ke-10 bakal menyaksikan 16 Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani bagi memperkukuh strategi teknologi hijau negara.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) Yeo Bee Yin berkata kerjasama strategik antara syarikat dan agensi Malaysia dengan syarikat luar negara itu bertujuan menggalakkan perkongsian idea dan maklumat teknologi yang boleh diguna pakai.

“IGEM bukan hanya berfungsi sebagai pameran teknologi hijau sahaja selain menarik pelaburan tinggi, kita juga mahu menggalakkan pemadanan perniagaan bagi mencari rakan niaga baru.

“Selain itu, IGEM juga membantu usahawan baru untuk meneroka peluang perniagaan dalam ekonomi rendah karbon,” katanya pada sidang media bersempena IGEM 2019 di Pavilion MESTECC, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

IGEM merupakan acara perdagangan terbesar di Asia Tenggara bagi penyelesaian teknologi hijau dan eko, menjana berbilion dalam potensi perniagaan dan menarik lebih 35,000 pengunjung termasuk delegasi, golongan kenamaan dan syarikat dari lebih 35 negara, antaranya Korea dan United Kingdom.

Yeo berkata sambutan bagi IGEM 2019 amat menggalakkan melibatkan 300 pempamer mengambil bahagian dengan sasaran RM2.8 bilion potensi pelaburan.

“Diharap penganjuran IGEM ini turut menyumbang kepada kemunculan produk inovatif berteknologi hijau di semua sektor termasuk perbankan dan kewangan, seterusnya menjana pertumbuhan ekonomi hijau pesat di negara kita,” katanya yang menambah kerajaan memperuntukkan sebanyak RM3 juta bagi penganjuran IGEM.

Bertemakan ‘Menginspirasi Kemapanan’, IGEM 2019 akan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini bertempat di lima ruang dewan pameran KLCC.

Sejak diadakan bermula 2010, IGEM berjaya menjana lebih RM23 bilion menerusi urus niaganya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu