Hilang IC: wanita buat laporan palsu elak didenda - polis [ 2h ago ]

Isu Felcra Bukit Tandak sepatutnya tidak lagi berbangkit - Mohd Amar

Tarikh kemaskini: 09/10/2019
Mohd Amar Nik Abdullah
KOTA BHARU, 9 Okt -- Isu penebangan kebun getah yang berlaku di Felcra Bukit Tandak, Rantau Panjang baru-baru ini sepatutnya tidak dijadikan isu oleh peserta dan pihak tertentu kerana jelas tanah yang terbabit bukan hak peserta.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata sepatutnya seramai 348 peserta yang membuat bantahan itu perlu merujuk kepada keputusan mahkamah yang memberi hak tanah berkenaan kepada kerajaan negeri.

"Ini sudah jelas yang tanah berkenaan adalah hak kerajaan negeri berdasarkan kepada kepada keputusan mahkamah sebelum ini dan tidak timbul kerajaan Kelantan bertindak zalim atau sebagainya.

"Kita sudah menawarkan kepada mereka untuk diberikan hak milik tanah sebanyak 1.2 hektar (3 ekar) tetapi mereka menolak yang tetap mahukan sebanyak 2.4 hektar (6 ekar) seorang.

"Apabila kita meminta mereka membuat permohonan secara rasmi di Pejabat Tanah Pasir Mas pada masa itu kesemua mereka tidak membuat permohonan malah membawanya ke mahkamah dan akhirnya mereka kalah," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Kerajaan negeri di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Pada 2 Okt lalu kesemua peserta itu kesal dengan tindakan kerajaan Kelantan menebang beberapa ekar kebun getah yang diusahakan mereka sejak 1980 dan semalam mereka tidak membenarkan syarikat kontraktor itu untuk menebang pokok getah.

Mengulas perkara itu, Mohd Amar meminta peserta tersebut untuk berunding dengan kontraktor berkenaan dan bagi kerajaan negeri berpendapat syarikat berkenaan perlu meneruskan kerja-kerja mereka.

Sementara itu kerajaan negeri mengharapkan kerajaan Persekutuan dapat meluluskan pembinaan Jambatan Pengkalan Kubor-Takbai (Selatan Thailand) dan juga pembinaan tebatan banjir di Sungai Golok pada pengumuman Belanjawan 2020 pada Jumaat ini.

"Paling penting adalah usaha pembinaan tebatan banjir kerana di sebelah Thailand telah pun selesai dan kita bimbang ketika musim tengkujuh ini kesannya adalah sangat teruk buat kita di sebelah sini," katanya.

Selain itu beliau berharap agar lima projek utama yang diumumkan iaitu pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, pembinaan Jambatan Palekbang-Tumpat, Lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai, laluan baharu Pasir Puteh ke Jeli dan Lebuh raya Pantai Timur tidak tergendala.

Mengulas Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai, beliau yang juga Naib Presiden PAS berkata terpulang kepada Barisan Nasional (BN) untuk memilih siapa sahaja calon asalkan calon berkenaan mampu membawa kemenangan.

"Kita tidak akan campur sama ada BN memilih calon Melayu atau bukan tetapi mestilah calon boleh menang dan itu yang kita mahukan," katanya.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu