Hilang IC: wanita buat laporan palsu elak didenda - polis [ 57m ago ]

Operasi SAR Mohamad Danish kini bertumpu di kawasan perangkap sampah

Tarikh kemaskini: 09/10/2019
ACP Noor Azmi Yusoff
KUALA LUMPUR, 9 Okt -- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang dikhuatiri lemas di dalam longkang di Taman Bukit Teratai, Ampang, semalam, kini bertumpu di sekitar kawasan perangkap sampah.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Noor Azmi Yusoff berkata pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Jabatan Pengaliran dan Saliran.

Katanya pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat turut menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) bagi mencari mangsa, Mohamad Danish Supri Antony.

“Pihak berkaitan turut menggunakan peralatan dron dalam misi SAR berkenaan,” katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, di sini.

Noor Azmi berkata pihaknya turut membuka sebuah pos kawalan bagi operasi SAR itu, berhampiran sebuah stesen minyak, di Cheras Indah.

Semalam, Mohamad Danish dilaporkan hilang dikhuatiri lemas, selepas terjatuh ke dalam longkang dan dihanyutkan arus deras di lokasi berkenaan.

Kanak-kanak itu dilapor bermain bersama beberapa rakannya sebelum terjatuh ke dalam longkang.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu