Hilang IC: wanita buat laporan palsu elak didenda - polis [ 1h ago ]

Sila matikan telefon - mahkamah

Tarikh kemaskini: 09/10/2019
KUALA LUMPUR, 9 Okt -- Bunyi telefon bimbit semasa perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengganggu perbicaraan, termasuk Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Ketika itu, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sedang menyoal balas saksi pendakwaan kesembilan, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MBD) Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Perhatian hakim, peguam dan timbalan pendakwa raya beralih ke arah bunyi berkenaan.

Muhammad Shafee secara berseloroh menerangkan deringan berkenaan bukan telefon anak guamnya, kerana dia berada di kandang tertuduh.

Pemilik telefon berkenaan, seorang wanita yang duduk di barisan depan galeri awam, mengambil masa setengah minit dalam keadaan panik untuk mencari dan mematikan telefon bimbitnya itu.

Hakim kemudian memberitahu jurubahasa mahkamah supaya mengingatkan mereka yang berada di dalam mahkamah agar mematikan peranti mereka.

"Sila matikan telefon bimbit anda, jika tidak mahkamah akan merampas telefon sekiranya ia berdering lagi," kata jurubahasa berkenaan.

Notis ditampalkan di pintu bilik perbicaraan yang mengingatkan orang ramai supaya mematikan telefon bimbit mereka seperti yang dikehendaki semasa prosiding.

Najib, 66, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan bersambung esok.

-- BERNAMA



       Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu